Sep 4, 2012

Kembar Anoreksia Tekad Untuk Mati Bersama

DUA gadis kembar seiras yang menjadi terkenal melalui perjuangan terdesak mereka dengan anoreksia, meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah rumah pada Isnin lalu.

BERGAMBAR bersama seorang rakan mereka, Rachel Walker (tengah).

Clare dan Rachel Wallmeyer, 42, terbunuh selepas kebakaran tercetus di rumah mereka di Geelong, berhampiran Melbourne, Australia dengan salah seorang daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mengalami cedera parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Menurut detektif daripada Unit Siasatan Jenayah Geelong, Gary Coombes, kematian kembar anoreksia itu dipercayai berlaku secara tidak sengaja. Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang aktiviti yang mencurigakan berlaku.

"Kebakaran itu terjadi di bilik lounge. Punca sebenar kebakaran masih disiasat. Jiran mereka membunyikan penggera kebakaran selepas terhidu bau asap di rumah tersebut," jelasnya.

Terkenal

Kejadian ini merupakan tragedi terakhir bagi si kembar yang beberapa waktu sebelum itu sempat muncul di sebuah stesen televisyen Australia dan berkongsi pengalaman mengenai hidup dengan anoreksia yang mengubah kehidupan mereka, serta berbagai masalah yang dihadapi sehingga terpaksa melibatkan kedua ibu bapa mereka.

Dalam wawancara tersebut, kedua-duanya menyatakan mereka belum pernah jatuh cinta, tidak memiliki pekerjaan dan percaya kedua-duanya akan mati bersama-sama.

Clare dan Rachel amat dikenali di Geelong, bukan sahaja disebabkan masalah mereka dengan anoreksia tetapi juga masalah mereka dengan undang-undang.

Pada tahun 2004, mereka menarik perhatian dunia dengan berkongsi pengalaman dan memberitahu bagaimana mereka terhibur dengan pemikiran yang mereka akan mati bersama-sama.

Rachel berkata, masyarakat mula perasan mereka menjadi anoreksia sejak zaman persekolahan lagi.

Ibu bapa mereka, Bob dan Mayo mengakui bahawa mereka takut jika suatu hari nanti menemui kedua-dua anak mereka itu mati di tempat tidur akibat tidak mahu makan.

"Ia akan menjadi mimpi ngeri apabila kehilangan seorang anak perempuan, tetapi saya tidak boleh bayangkan sekiranya kehilangan kedua-duanya," tutur ibu kepada kembar berkenaan.

Clare turut memberitahu, dia tidak pernah didatangi haid.

"Kita hidup untuk mati. Semua ini perjuangan dan tiada noktah," kata Rachel pula.

Bercakap tentang perihal kematian, Clare berkata, tidak akan ada kehidupan yang boleh diberikannya kepada dunia.

"Mungkin ini boleh menjadi permulaan dan bukannya pengakhiran," beritahu Clare.

Jenayah

Laporan juga memberitahu bagaimana pasangan itu telah beralih kepada jenayah dalam usaha untuk melegakan kesakitan mereka.

Kembar anoreksia ini telah membuat beberapa penampilan di mahkamah Geelong apabila berdepan pelbagai tuduhan termasuk serangan, penggunaan dadah dan kecurian.

Penampilan terakhir adalah pada November 2010 apabila Rachel didakwa atas percubaan membunuh kakaknya.

Clare sempat menjalani hukuman penjara kerana mencuri. Hakim melihat tujuan Clare hanya ingin mendatangkan masalah kepada dirinya sendiri.

Rachel juga pernah ditahan pihak polis dan dipenjarakan selama 21 bulan kerana memandu secara berbahaya akibat berada di bawah pengaruh dadah sehingga mencederakan seseorang.

Kedua-dua wanita ini adalah pelari maraton. Mereka amat berjaya dalam bidang sains biomedikal dan pendidikan jasmani. Kedua-duanya rajin belajar secara berkumpulan.

Selama dua dekad, susuk tubuh mereka menjadi sangat susut dan doktor mengatakan struktur tulang mereka ibarat tulang seorang wanita yang berusia 70 hingga 100 tahun.

Ini kerana kedua-duanya mengalami gangguan makan pada usia remaja lagi. Mereka kehilangan berat badan kerana terlalu obses dengan larian maraton.

Clare dalam wawancaranya mengakui, mereka pada dasarnya tidak makan apa-apa. Kadangkala, mereka hanya makan sepotong tembikai dan minum kola diet atau kopi.

Rachel berkata, Clare adalah satu-satunya orang yang akan tetap berada di sisinya. Mereka selalu sepakat untuk mati bersama-sama.

"Mati terasa lebih mudah ketika bersama Rachel," jelas Clare. - Kosmo

0 comments

Post a Comment