Sep 6, 2012

Ketua Menteri Baru Quebec Diserang Lelaki Bersenjata

Montreal: Seorang lelaki bersenjata bertopeng melepaskan tembakan ketika perhimpunan menyambut kemenangan Ketua Menteri baru Quebec, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera.


Ketua Menteri baru itu, Pauline Marois dari Parti Quebecois segera dibawa turun pentas oleh pengawal ketika menyampaikan ucapan. Beliau tidak mengalami kecederaan.

Tidak diketahui sama ada lelaki bersenjata terbabit cuba melepaskan tembakan terhadap Marois. Partinya menyokong pemisahan daripada Kanada. Di Quebec, penduduknya berbahasa Perancis.

Polis Montreal, Komander Ian Lafreniere mendedahkan bahawa lelaki terbabit berusia 50 tahun dan berkata suspek melepaskan tembakan di belakang dewan ketika Marois memberikan ucapan kemenangan kepada beratus-ratus penyokongnya di auditorium Metropolis.

Apa yang berlaku? tanya Marois kepada pengawalnya ketika dibawa keluar dari pentas sewaktu meraikan kemenangan partinya dalam pilihan raya wilayah kelmarin.

Lelaki terbabit cuba melarikan diri keluar dan memulakan kebakaran kecil sebelum ditangkap.

Polis berkata, mereka tidak mengetahui motif lelaki berkenaan. Ketika dibawa keluar oleh polis, suspek kedengaran menjerit dalam bahasa Perancis: Orang Inggeris bangkit!.

Marois kembali ke pentas selepas tembakan dan menamatkan ucapan sebelum meminta orang ramai bersurai secara aman. - Agensi

0 comments

Post a Comment