Sep 5, 2012

Mahathir: Kata-kata Hang Tuah Tidak Akan Menjadi Kenyataan

SHAH ALAM - Dalam penulisan terbaru mengaitkan politik dan orang Melayu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu tidak lagi boleh bergantung pada kata-kata keramat Hang Tuah dan "kemungkinan kata-katanya tidak lagi akan menjadi kenyataan."


"Kasihan Hang Tuah. Besar kemungkinan kata-katanya tidak lagi akan menjadi kenyataan. Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita, akhirnya akan hilang hikmatnya," kata beliau.

Dalam entri blog terbaru, Dr Mahathir berkata, "kata Hang Tuah 'Tak akan Melayu hilang di dunia'. Dapatkah kata-kata keramat ini menentu yang Melayu tak akan hilang di dunia?"

Dr Mahathir, yang seringkali menyentuh masa depan orang Melayu khususnya selepas Pilihan Raya Umum 2008 seterusnya menulis bahawa di Singapura kerana tidak ada lagi sekolah Melayu dan bahasa penghantar di sekolah-sekolah di republik itu ialah Inggeris dan Cina manakala segala urusan rasmi dan tidak rasmi menggunakan Bahasa Ingggeris atau China, maka orang Melayu sudah pun tidak menggunakan bahasa Melayu.

"Mereka menggunakan bahasa Inggeris walaupun semasa bercakap dengan anak pinak, keluarga dan kawan-kawan Melayu.

"Budaya, adat istiadat Melayu juga terhakis. Yang tinggal hanyalah agama Islam mereka," katanya lagi.

Bekas Presiden Umno ini berkata, KeMelayuan mereka sudah tinggal separuh dan hakisan keMelayuan mereka akan berterusan boleh diramal sehingga akan hilanglah Melayu di Singapura.

"Di sebelah utara pula kita dapati orang keturunan Melayu yang tidak dapat bertutur kata dalam Bahasa Melayu. Mereka Islam dan bangsa rasmi mereka ialah Thai. Maka hilanglah juga Melayu di situ," katanya lagi.

Katanya, di Malaysia juga kehilangan Melayu sedang berlaku.

"Ada anak muda Melayu yang tidak lagi ingin dikenali sebagai orang Melayu.

"Mereka orang Malaysia. Ada pula yang hanya akui mereka orang Islam dan tidak perlu dikaitkan diri mereka dengan kaum Melayu," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, yang akan menghilangkan Melayu di dunia ialah dakwaan bahawa sesiapa yang bercakap berkenaan dengan bangsa Melayu, mereka akan dituduh “rasis”.

"Oleh itu orang Melayu sudah tidak lagi berani menyebut perkataan Melayu kerana tidak mahu dituduh 'rasis'," katanya lagi. - SinarHarian

0 comments

Post a Comment