Jul 16, 2013

Ibu tunggal mati dibunuh dalam kebakaran

SANDAKAN: Polis mengklasifikasi kes kematian seorang ibu tunggal dalam kebakaran di rumahnya di Taman Indah Jaya dekat sini pada Jumaat lepas sebagai kes bunuh.

Gambar hiasan

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Supt Fadzil Mohd Ali berkata polis telah menahan seorang lelaki berusia 23 tahun disyaki terlibat dengan kes kebakaran itu di sebuah bilik hotel di Bandar Ramai Ramai dekat sini pada 1.30 tengah hari Ahad.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut menjumpai dua anak mangsa iaitu seorang lelaki dan perempuan berumur tujuh dan enam tahun yang dilaporkan hilang selepas kejadian kebakaran itu, dalam keadaan selamat di sebuah bilik lain di hotel itu.

“Dengan penahanan suspek lelaki tu, polis percaya akan dapat mengenal pasti motif kes itu, katanya kelmarin.

Dalam kejadian kebakaran 8 malam itu, mayat Hasnah Astan, 42, penjawat awam di Jabatan Perhutanan di sini ditemui di tepi katil di dalam bilik utama di tingkat atas rumahnya terletak di Blok 130, Lot A1280.

Sementara itu Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan Devi Rashedee Ensoi berkata tiga anggota Unit Forensik dari sini dan Kota Kinabalu masih melakukan siasatan di lokasi kejadian dengan mengambil beberapa sampel untuk mengenal pasti punca kebakaran.

Beliau berkata sampel yang diambil di tempat kejadian akan dihantar ke makmal untuk dianalisis.

“Apabila keputusan diperolehi, ia akan dihantar kepada polis bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama – Bernama.

-NST

0 comments

Post a Comment