Nov 19, 2013

Syarikat kelapa sawit kenakan tol kepada orang kampung

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut, Datuk James Ratib menggesa Kerajaan Negeri campur tangan ke atas tindakan syarikat- syarikat perladangan di kawasannya yang mengenakan bayaran tol kepada orang kampung yang ingin menggunakan jalan melalui kawasan ladang.

Gambar hiasan.

Katanya, kadar yang dikenakan oleh pihak tidak bertangungjawab ini juga tidak munasabah.

“Dahulu orang-orang kampung merupakan orang asal di tempat berkenaan, tetapi kini mereka pula terpaksa membayar tol kepada estet luar yang datang mengaut keuntungan besar tanpa sikap prihatin kepada kesusahan orang-orang kampung,” katanya ketika membahaskan Bajet Negeri 2014, di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, kelmarin.

Oleh itu, James mencadangkan Kerajaan Negeri menggesa syarikat-syarikat tersebut menyerap sedikit keuntungan yang berlipat ganda itu sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menggantikan bayaran tol yang terpaksa dibayar para penduduk kampung.

Di samping itu katanya, syarikat perladangan tersebut juga boleh melaksanakan penggunaan pelekat kereta bagi memudahkan pergerakan orang-orang kampung yang keluar masuk menggunakan laluan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Adun Bongawan, Mohamad Alamin mencadangkan agar imej kawasan antara Kimanis-Bongawan dibangunkan dan diberi identiti baru sebagai ‘Bandar Industri Minyak Petroleum’.

Katanya, hal ini kerana sejak pembinaan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) dan Laluan Paip Gas Sabah dan Sarawak (SSGP), kawasan tersebut semakin dikenali ramai.

“Saya telah meminta agar Jabatan Perancangan Bandar dapat merancang plan pembangunan Daerah Penuh berasaskan Konsep Bandar atau Daerah Industri Minyak Petroleum,” katanya

Katanya, cadangan ini berpotensi dalam memberikan peluang yang besar khususnya kepada penduduk di Daerah tersebut.

Dalam pada itu, pihaknya juga mengharapkan agar lebih banyak lagi pusat-pusat kemahiran ditubuhkan bagi memenuhi kepelbagaian tuntutan dan keperluan setiap lapisan golongan belia di Sabah dan di Bongawan-Kimanis khususnya.

“Kita boleh perhatikan sekarang implikasi daripada industri petroleum dan gas asli, bagaimana Pusat Latihan Petronas Kimanis berfungsi dalam melatih dan mempersiapkan golongan belia dengan ilmu dan kemahiran yang relevan dengan kehendak semasa,” katanya.

Sementara itu, Mohamad juga mengusulkan program pemantapan kawasan-kawasan di daerah Bongawan-Kimanis dan Membakut yang telah dikenal pasti mampu berperanan sebagai antara lokasi menarik di Sabah. Katanya, lokasi-lokasi tersebut termasuklah Pantai Kenangan di Bongawan, kawasan keberadaan ‘Proboscis Monkey’ dan serangga kelip-kelip, warisan dan tinggalan sejarah Kesultanan Melayu-Brunei dan sebagainya.

Juga, Alamin mencadangkan agar institusi kemahiran dan pendidikan bukan sahaja difokuskan di Daerah Bongawan dan Kimanis, malah ia juga perlu merangkumi Daerah Kuala Penyu, Beaufort, Membakut dan Papar.

“Antara bidang yang boleh dibangunkan adalah seperti bidang kejuruteraan mengkhusus industri minyak dan gas, bidang pelancongan dan perhotelan yang bersesuaian dan lain-lain lagi,” katanya.

Sumber: New Sabah Times

0 comments

Post a Comment