Aug 17, 2015

Dana RM2.6 Bilion Hargai Malaysia Sekat Fahaman IS

Seorang pemimpin bahagian Umno mendakwa wang RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak adalah "sumbangan politik dari Arab Saudi".

Dana RM2.6b

"Ia sebagai sebagai penghargaan kepada Malaysia yang memperjuangkan agama Islam dan mengamalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah," kata Ketua Umno Kuantan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat seperti dilapor oleh Sinar Harian Online.

Laporan itu juga menyebut, wang tersebut juga sebagai menghargai usaha Malaysia menyekat penyebaran fahaman kumpulan militan Negara Islam (IS).

Dalam laporan itu, Wan Adnan berkata perkara tersebut telah dijelaskan oleh Najib kepada 146 ketua Umno bahagian dalam satu pertemuan Rabu lalu.

"Bukan sahaja yang menerima sumbangan atau derma daripada Arab Saudi, ada lagi dua tiga negara lain turut menerima sumbangan sama, termasuk masyarakat Islam di Filipina dan (Selatan) Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian Serentak mesyuarat agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian itu.

Akhbar itu juga melaporkan Najib menjelaskan wang itu dimasukkan ke dalam akaun peribadinya kerana ia sumbangan kepada Najib bukan kepada parti.

Laporan itu berkata semua ketua bahagian berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan berharap isu tersebut tidak dipanjangkan bagi mengelak kekeliruan ahli lapor Malaysiakini.

0 comments

Post a Comment