SAINT PETERSBURG: Dua gol pada masa kecederaan masing-masing menerusi Philippe Coutinho dan Neymar melegakan Brazil apabila membantu juara dunia lima kali itu meraih tiga mata penuh ketika menewaskan Costa Rica 2-0 pada perlawanan kedua Kumpulan E, hari ini.
Brazil dilihat berada dalam situasi cukup tertekan selepas beberapa cubaan mereka untuk meraih gol menemui jalan buntu sehinggalah jaringan Coutinho menggamatkan stadium minit ke-91 sebelum Neymar mengesahkan kemenangan Brazil dengan gol kedua minit ke-97.
Sebelum itu, teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) menafikan Brazil daripada meraih gol pertama.
Brazil hampir meraih tiga mata yang ditunggu-tunggu selepas dihadiahkan sepakan penalti minit ke-77, namun ia dibatalkan selepas pengadil perlawanan melihat ulang tayang video yang menyaksikan berlaku hanya sedikit sentuhan dan Neymar sengaja merebahkan badannya di dalam kotak penalti.
Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan misi untuk menang selepas Brazil sekadar seri 1-1 dengan Switzerland pada perlawanan pertama manakala Costa Rica lebih malang apabila tewas 0-1 kepada Serbia.
Meskipun Brazil menguasai perlawanan di awal permainan, Costa Rica memperoleh peluang terbaik untuk di depan pada minit ke-13 selepas Cristian Gamboa melorong bola cantik kepada Celso Borges yang kemudian melakukan cubaan yang sedikit tersasar.
Brazil terus mempamer corak permainan mendatar selepas itu dengan Neymar dikawal ketat sehingga menyaksikannya beberapa kali dikasari.
Stadium bergegar seketika pada minit ke-26 kerana menjangkakan Brazil berjaya memecah kebuntuan, namun rembatan Gabriel Jesus minit ke-26 dibatalkan kerana ofsaid.
Hanya pada minit ke-40 barulah Brazil mampu melakukan cubaan tepat menerusi Marcelo, namun penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas menafikan cubaannya itu.
Bersambung babak kedua, Brazil hampir di depan minit ke-48, namun tandukan Neymar terkena palang gol.
Minit ke-56 rembatan rendah Coutinho pula berjaya dibaca Navas yang mendakap kemas bola sebelum sepakan penalti untuk Brazil dibatalkan minit ke-77. -hmetro
0 comments
Post a Comment