Jun 2, 2018

Musa Aman Akui Berada Di Luar Negara, Nafi Melarikan Diri

KOTA KINABALU - Peguam kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menafikan dakwaan bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu ke luar negara tanpa mengikut saluran yang sah.

Peguam Zahir Shah yang mewakili Musa, membuat kenyataan tersebut selepas pihak Jabatan Imigresen Malaysia mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu dipercayai telah lari ke luar negara tanpa mengikut saluran sah memandangkan tiada sebarang rekod menunjukkan beliau keluar dari negara ini.

"Merujuk kepada laporan artikel yang disiarkan, saya ingin menegaskan Tan Sri Musa Aman tidak pernah meninggalkan negara secara haram dan sentiasa melalui saluran imigresen yang betul.

"Sebagaimana yang dinasihatkan doktor peribadinya, beliau (Musa) kini sedang menjalani rawatan," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menjelaskan jenis dan lokasi Musa mendapatkan rawatan terbabit.

Tambah Zahir, Musa akan kembali sebaik sahaja sesi rawatan selesai dan doktor berpuas hati dengan tahap kesihatannya.

"Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya ia dijalankan secara adil dan mematuhi undang-undang," jelasnya lanjut. -kosmo

0 comments

Post a Comment