Jul 10, 2018

Polis Macau Terima Permohonan Tahan Jho Low

KUALA LUMPUR - Polis Macau menegsahkan menerima permintaan daripada Malaysia untuk menangkap ahli perniagaan, Low Taek Jho.

Memetik laporan Malaysiakini, bagaimanapun polis di negara itu masih belum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.

Malaysiakini mendapatkan maklumat tersebut melalui komunikasi menerusi e-mail.

"Mengenai pertanyaan anda tentang Low Taek Jho, Biro Pusat Interpol China cawangan Macau telah menerima permintaan dari negara yang berkenaan (untuk menangkapnya).

"Cawangan itu masih mengesahkan kandungan permintaan itu dan akan memberikan jawapan kepada negara berkenaan dengan secepat mungkin," kata polis Macau.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu akan diberkas selepas mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa Macau.

Setakat ini, PDRM telah menghantar permohonan kepada lapan buah negara iaitu Hong Kong, Macau, China, Indonesia, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Myanmar dan Taiwan untuk mendapatkan kerjasama dalam memburu Jho Low.

Pada 5 Julai lalu, polis mengesahkan ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low yang sedang diburu berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah melarikan diri ke Macau.

0 comments

Post a Comment