Nov 8, 2018

Azmin Ungguli Minggu Akhir Atasi Rafizi

Memasuki minggu akhir pemilihan PKR 2018, pasukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengungguli undian tertinggi bagi mengisi jawatan utama Majlis Pimpinan Pusat parti itu.

Pemilihan yang bermula sejak 22 September lalu menyaksikan hampir semua calon kem penyandang Timbalan Presiden PKR itu berada dalam kedudukan selesa bagi setiap jawatan yang ditandingi mereka.

Daripada 13 negeri yang sudah melaksanakan pemilihan, Mohamed Azmin terus mendahului pencabarnya, Rafizi Ramli bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dengan majoriti 3,202 undi selepas memperoleh 59,594 undi (51.4 peratus) berbanding Rafizi yang mendapat 56,392 undi (48.6 peratus).

Tiga lagi sekutu Mohamed Azmin turut berada dalam keadaan selesa bagi merebut empat slot jawatan Naib Presiden apabila Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin meraih 52,226 undi diikuti Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar (47,566 undi) manakala bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendapat 42,068 undi.

Bagaimanapun, satu-satunya calon yang bukan dari pasukan bekas Menteri Besar Selangor itu, Nurul Izzah Azwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh meninggalkan jauh 12 pencabarnya selepas meraih 67,050 undi.

Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut diungguli kem Mohamed Azmin apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin mendahului dua pencabarnya apabila meraih 14,000 undi setakat ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, memperoleh 13,169 undi manakala ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi mendapat 2,982 undi.

Begitu juga bagi jawatan Timbalan Ketua AMK, setiausaha politik Mohamed Azmin, Hilman Idham mendahului saingan dengan majoriti 8,411 undi selepas memperoleh 16,951 undi berbanding sekutu Rafizi, Raymond Ahuar yang memperoleh 8,440 undi.

Bagi jawatan Ketua Wanita PKR, ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha mendapat 24,179 undi mendahului sekutu Rafizi, Fuziah Salleh yang mendapat 19,662 undi manakala persaingan Timbalan Ketua sayap itu menyaksikan sekutu Azmin, Daroyah Alwi, meraih 23,599 undi berbanding pesaingnya Rodziah Ismail (18,006 undi).

Bagi persaingan anggota MPP, sekutu Mohamed Azmin menguasai 15 daripada 20 slot yang ditawarkan.

Antaranya Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.

Enam negeri sudah memuktamadkan keputusan iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala bakinya adalah negeri yang belum memuktamadkan keputusan merangkumi pemilihan fasa satu, dua dan tiga di Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Perak serta Sabah. -hmetro

0 comments

Post a Comment