Jul 13, 2018

Adakah Barangan Kemas Untuk Rosmah Diisytiharkan?

SEMUA barangan komersial yang dibawa masuk ke dalam negara perlu diisytiharkan dan tertakluk kepada dikenakan cukai, kata Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam.

Katanya, kegagalan berbuat demikian kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan barangan berkenaan disita.

Beliau mengulas mengenai sama ada pengisytiharan perlu dilakukan dan adakah cukai dikenakan terhadap barangan kemas yang dituntut syarikat pemborong barangan kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, pada Februari lalu.

Syarikat itu mendakwa sebanyak 44 barangan kemas syarikatnya, dirampas polis dalam serbuan ke kediaman Datuk Seri Najib Razak, Mei lalu.

Sebuah portal berita melaporkan, JKDM boleh merampas kesemua barang kemas dihantar kepada Rosmah, jika didapati tidak diisytiharkan kepada jabatan itu sebelum ini.

Subromaniam dilaporkan berkata kepada portal berkenaan, hingga kini pihak polis juga belum menghubungi JKDM berhubung isu berkenaan.

Persoalan berhubung isu itu, dibangkitkan Ahli Parlimen Jelutong, R S N Rayer yang mempersoalkan mengenai bagaimana barangan perhiasan mewah itu, melepasi pemeriksaan kastam.

Rayer mempersoalkan, sama ada ia mendapat pengisytiharan JKDM apabila dibawa masuk ke negara ini.

“Siapa penerima? Adakah duti cukai kastam dibayar? Bagaimanakah proses penyerahan barangan ini diterima Rosmah dengan selamat, memandangkan ia membabitkan nilai jutaan ringgit?” katanya.

Pada 26 Jun lalu, Global Royalty memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Rosmah berhubung penyerahan 44 barang kemas yang dihantar kepadanya pada Februari lalu.

Namun, barangan itu dirampas polis pada Mei lalu.

Syarikat berkenaan, dalam surat bertarikh 22 Mei lalu, mendakwa Rosmah, mengakui menerima barangan berkenaan.

Royalti Global dalam kenyataan tuntutan syarikatnya, mendakwa sebelum ini, syarikat itu akan menghantar kiriman barangan perhiasan kepada Rosmah mengikut permintaan beliau atas tujuan penilaian dan membeli, lantas dibayar olehnya atau oleh pihak ketiga.

“Barangan kemas yang tidak diingini akan dipulangkan.

"Rosmah mengakui secara bertulis mengenai penerimaan, tetapi ia kini tidak lagi dalam jagaan beliau, kerana dirampas pihak berkuasa Malaysia,” memetik kenyataan itu. -hmetro

0 comments

Post a Comment