LAGI BERITA

May 9, 2013

Pengundi Di DUN Kiulu Di Seru Kembali Bersatu

TUARAN, 8 Mei (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu yang baharu Datuk Joniston Bangkuai menyeru penduduk Kiulu, termasuk penyokong parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini, kembali bersatu dan menjalin perkongsian strategik bagi menangani pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapi rakyat di kawasan itu.


Bangkuai, yang juga Presiden Persatuan Wartawan Sabah, berkata meskipun pelan pembangunan untuk Kiulu sudah ada, beliau sentiasa terbuka untuk mendengar sebarang cadangan demi kebaikan kawasan itu.

"Majoriti tipis (untuk calon Barisan Nasional (BN) di Kiulu) bukanlah alasan untuk tidak bekerja keras, sebaliknya ia mendorong kami melipatgandakan usaha membangunkan Kiulu," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam hal ini, Bangkuai menggesa penduduk Kiulu bekerja bersama-sama beliau untuk membawa kawasan itu ke tahap lebih tinggi.

"Terima kasih 'Tulun tokou Kiulu', terutama penyokong dan tukang kempen BN, yang terus menyokong serta mengundi BN meskipun berdepan serangan pembangkang... Kami akan terus bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Pada pilihan raya umum Ahad lepas, Bangkuai memenangi kerusi DUN Kiulu dengan majoriti 44 undi.

-BERNAMA

Berita penuh...

Mar 27, 2013

5 Pelajar UMS-KAL Ditahan Edar Risalah Hasutan

Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Adzhar Othman mengesahkan lima pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) ditahan polis pada Sabtu.


Adzhar berkata kelima-lima mereka yang membabitkan tiga lelaki dan dua wanita ditahan kira-kira jam 2.40 petang di pusat bandar selepas dipercayai mengedarkan risalah berunsur negatif yang boleh membawa kepada kegusaran orang ramai sekaligus menggugat ketenteraman awam di pulau ini.

“Kesemua mereka berumur antara 22 hingga 24 tahun itu ditahan mengikut seksyen 11 (2) Akta Mesin Percetakan 1984 atas kesalahan memiliki dan mengedarkan risalah tanpa permit yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke 206 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Labuan, pagi kelmarin.

Adzhar berkata, sebanyak 18 keping risalah berjaya dirampas daripada mahasiswa tersebut yang antara lain terkandung perkataan yang berunsur negatif seperti Bantuan Rasuah 1Malaysia (BR1M) dan ‘Tukar Kerajaan’ serta merampas satu kain rentang yang tertera ‘Gabungan Gerakan Mahasiswa PRU13 Sabah dan Labuan’ (GM13).

Bagaimanapun Adzhar berkata, kesemua mereka dibebaskan kira-kira jam 1.30 pagi selepas semua keterangan mereka di ambil. Mereka dibebaskan dengan wang cagaran RM5,000 daripada seorang penjamin tempatan.

Sementara itu, menurut sumber lain kelima-lima mereka ditahan ketika cuba melakukan demonstrasi ‘Speaker’s Corner dengan menyebarkan risalah kepada orang awam di sekitar pusat bandar dan antara mereka yang ditahan ialah Pengerusi Pro Mahasiswa UMS-KAL, Shah Jabran Almughni.

Terdahulu Adzhar menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan yang melibatkan kira-kira 32 anggota polis pelbagai pangkat seterusnya membacakan teks amanat perutusan Ketua Polis Negara dihadapan kira-kira 150 anggota polis dan tetamu jemputan khas yang hadir.

Pada majlis itu, beliau juga turut menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis yang berkhidmat cemerlang serta kepada ahli-ahli korporat, orang awam termasuk pengamal media yang telah banyak membantu polis dalam pelbagai aspek keselamatan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Yunus Kurus, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Zainul Abidin, Pengarah Urusan Labuan Liberty Port Management (LLPM), Datuk Sri Alias Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Asean Supply Based, Datuk Harris Annuar Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Ferry Corporation (LFC), Shamsul Sahari.

-NewSabahTimes

Berita penuh...

Mar 6, 2013

Tentera Berbalas Tembakan Dengan Penceroboh Pagi Tadi!

Satu kejadian tembak-menembak antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas Selatan Filipina dilaporkan berlaku pukul 6.45 pagi tadi.


Pengesahan itu dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media harian bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Sabah, pagi ini.

Beliau tidak mendedahkan lokasi kejadian itu tetapi memberitahu seorang pengganas Sulu tumpas manakala tidak ada sebarang kecederaan di pihak Malaysia.

Bagaimanapun pengganas yang ditembak itu sempat dibawa lari oleh rakan-rakannya yang lain.

Ismail juga mengesahkan bahawa kawasan Ops Daulat yang sebelum ini seluas 4 kilometer, kini diperluaskan lagi berikutan ada di kalangan pengganas dipercayai yang bergerak ke beberapa kawasan lain dengan menyamar sebagai orang awam.

Beliau bagaimanapun meminta orang ramai agar tidak bimbang dengan perkembangan terbaru itu.

Ismail sekali lagi menasihatkan penduduk di kawasan sekitar agar berhati-hati dan dapatkan apa-apa maklumat di pos taktikal pasukan keselamatan dan balai polis berdekatan.

“Sekali lagi saya minta kerjasama orang ramai agar tidak cemas walaupun musuh bergerak lebih luas kerana pasukan keselamatan masih mengawal,” katanya.

Pada sidang yang sama, beliau juga berkata, pihaknya belum lagi mahu menyiarkan jumlah pemberontak Sulu yang cedera atau maut dalam operasi yang digerakkan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.

Dalam operasi itu yang bermula sekitar 7 pagi, pengganas digempur dan dilemahkan dalam masa hanya 3 jam oleh pasukan tentera.

Namun, OPS Daulat masih tidak berakhir kerana ia disusuli dengan operasi ‘mopping out’ atau membersihkan sepenuhnya saki-baki pengganas yang terselamat dalam serangan semalam.

Kumpulan pengganas yang merupakan pengikut Jamalul Kiram III yang mengaku dirinya Sultan Sulu menceroboh Sabah pada 9 Februari lalu.

Mereka telah dipujuk dan diberikan peluang selama berminggu-minggu oleh pasukan keselamatan Malaysia agar pulang ke tanah air mereka namun bersikap angkuh dan keras kepala.

Jamalul Kiram III mengaku Sabah adalah milik kesultanannya walaupun sejarah membuktikan ia telah diserahkan kepada British.

[Sumber]

Berita penuh...

Feb 23, 2013

Kenyataan Nik Aziz Hina Penerima BR1M

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan, sebagai menghina rakyat yang memerlukan bantuan.


“Saya hairan dan takjub bagaimana seorang menteri besar dan pemimpin PAS yang sepatutnya berpegang kepada prinsip agama Islam boleh membuat satu kenyataan yang begitu menghina penerima bantuan, yang saya tahu jumlahnya amat ramai,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 oleh pengerusi-pengerusi penyelaras BN Sabah di sini semalam.

Katanya, penerima bantuan tersebut merupakan kumpulan yang dikenal pasti kerajaan benar-benar memerlukan bantuan dan pemberian BR1M dapat membantu mengubah kehidupan penerima ke arah masa depan lebih selesa.

Baru-baru ini, Nik Aziz berkata pemberian BR1M tersebut mendapat sambutan rakyat dan mengibaratkan penerima “sama dengan ayam dan lembu yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari.”

Muhyiddin sedih golongan kurang mampu dipandang hina dan diperkecilkan oleh pemimpin PAS itu.

“Ini sesuatu (kenyataan) yang tidak harus keluar daripada (mulut) seseorang yang mengatakan dirinya tokoh agama. Lebih-lebih lagi agama Islam.

“Lepas itu, dia (Nik Aziz) mengeluarkan fatwa menghukumkan ini (pemberian bantuan) satu perbuatan yang haram dan bertentangan dengan agama,” katanya.

Muhyiddin berkata kenyataan Nik Aziz tersebut bercanggah dengan Islam dan harus disangkal oleh tokoh-tokoh agama lain.

“Amalan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah sesuatu untuk membela, membantu, satu kerja amal yang patutnya didukung dan disokong oleh sesiapa pun.

“Jadi, dia (Nik Aziz) sudah membuat satu kenyataan yang sudah cukup bercanggah dengan hukum Islam sebenarnya, satu kesalahan dari segi agama,” katanya.

-Bernama

Berita penuh...

Kadar Kemiskinan Di Sabah Terus Berkurangan

Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2012 mendapati purata pendapatan isi rumah di Sabah tahun 2012 menunjukkan peningkatan sebanyak 29.4 peratus iaitu RM4,013 sebulan berbanding RM3,102 pada tahun 2009.


Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata peningkatan itu dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 8.6 peratus.

Menurutnya, purata pendapatan bulanan di luar bandar turut meningkat sebanyak 33.8 peratus daripada RM2,177 tahun 2009 kepada RM2,913 tahun 2012.

Bagi purata pendapatan bulanan di bandar pula katanya, meningkat sebanyak 22.7 peratus daripada RM3,803 kepada RM4,668.

“Kadar kemiskinan di Sabah terus berkurangan daripada 19.7 peratus bagi tahun 2009 kepada 8.1 peratus tahun lepas.

“Bagi kadar kemiskinan di luar bandar, ia turut mencatatkan penurunan daripada 32.8 peratus kepada 12.9 peratus.

“Pengurangan juga dicatatkan bagi kawasan bandar dengan jumlah penurunan daripada 9.8 peratus kepada 5.3 peratus,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Rahamat berkata, corak pengagihan pendapatan di Sabah semakin bertambah baik dengan Pekali Gini menunjukkan pengurangan daripada 0.453 kepada 0.428.

Beliau berkata, ia mencerminkan corak agihan pendapatan yang lebih saksama dalam kalangan rakyat hasil daripada pelaksanaan inisiatif dan program pembangunan sosioekonomi yang lebih menyeluruh di Sabah.

Bagi negeri Sabah katanya, kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM24.8 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Ia untuk pelaksanaan program pembangunan termasuklah infrastruktur luar bandar serta program pendidikan dan bantuan rumah dibawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Peruntukan sebanyak RM293.5 juta turut diperuntukkan sebagai langkah khusus membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah,” katanya.

Menurutnya, sehingga Disember tahun lepas, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyalurkan sejumlah RM920.6 juta kepada 60,766 sahabat di Sabah.

Katanya, ia adalah untuk membantu rakyat termiskin menjalankan perniagaan di peringkat mikro.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

-Theborneopost.com

Berita penuh...

Oct 4, 2012

Anwar Penakut Lari Ke Paris Semasa Perbahasan Badjet 2013

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim seperti burung unta di padang pasir kerana tindakan Anwar Ibrahim yang sanggup ke Paris, Perancis ketika sesi perbahasan Bajet 2013 sedang berlangsung menunjukkan beliau seorang pemimpin penakut yang `bercakap tidak serupa bikin’.


Tambahnya, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak hadir semasa Ketua Pembangkang itu berucap dituduhnya sebagai penakut sedangkan sebagai pemimpin kerajaan, sudah tentu Najib sibuk dengan pelbagai tugas rasmi.

“Kita tahu, semasa memegang jawatan Menteri Kewangan juga Anwar jarang mendengar ucapan Ketua Pembangkang pada masa itu yang disandang Lim Kit Siang. Semasa memegang jawatan Menteri Kewangan dahulu sehingga menjadi Ketua Pembangkang sekarang pun jarang ada dalam Dewan Rakyat untuk mendengar Ahli Parlimen lain berbahas,” ujarnya ketika ditemui di Lobi Dewan Rakyat selepas sidang berakhir lewat petang semalam.

Beliau turut mempersoalkan adakah Anwar pun begitu sibuk sehingga sanggup ke Paris semalam atau hakikatnya takut untuk berada di dalam Dewan Rakyat kerana bimbang diserang oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Tindakan Anwar yang menuduh Najib yang juga Menteri Kewangan takut untuk berdepan dengan dirinya ketika membahaskan Bajet 2013 Isnin lalu tetapi pada masa sama, Ketua Pembangkang itu telah ke Perancis semasa sidang Dewan Rakyat masih berlangsung.

“Dalam masa yang sama, saya sedar, apabila saya bangun berucap mesti Ketua Pembangkang itu akan bangun meninggalkan Dewan Rakyat sebab dia tahu Ibrahim Ali kawan lamanya ini tahu segala rahsia dirinya.

“Cukup-cukuplah Anwar, insaflah. Berapa banyak lagi kamu hendak berbohong, memperlekeh dan memfitnah orang,” ujarnya memperlekeh tindakan Anwar yang dilihat sentiasa takut untuk berhadapan dengan beliau khususnya di Parlimen.

-UMNO

Berita penuh...

Budak Kena Langgar di Sangka Anjing

KENINGAU: Seorang lelaki yang menyangka sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh seekor anjing sebaik terdengar dentuman kuat tergamam mendapati mangsa seorang kanak-kanak perempuan sebelum pemandu kenderaan itu melarikan diri dalam kejadian di Kilometer 2, Jalan Keningau-Apin-Apin, di sini, semalam.

Gambar hiasan

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, kanak-kanak terbabit, Nurliza Azuray, 9, diseret hampir 10 meter sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan.

Seorang saksi mahu dikenali sebagai Isa, 30, berkata ketika kejadian dia menunggu bas di tepi jalan sebelum terdengar dentuman.

“Saya berada kira-kira 20 meter dari tempat kejadian dan menyangka kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser merempuh seekor anjing yang melintas jalan.

“Namun, saya hampir pitam apabila melihat mangsa adalah kanak-kanak dan diheret kira-kira 10 meter sebelum kenderaan itu berhenti, bergerak ke kiri sedikit lalu memecut meninggalkan tempat kejadian,” katanya.

Katanya, sejurus selepas itu, dia bergegas mendapatkan mangsa dan mendapati kanak-kanak itu berlumuran darah sebelum tidak bergerak lagi.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian membantu membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Robert Solisip @ David mengesahkan kejadian dan mangsa maut sebaik tiba di hospital.

“Pemandu terbabit, warga Pakistan berusia 44 tahun bertindak memecut kenderaannya, tetapi akhirnya menyerah diri beberapa jam selepas kejadian,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai cuba melintas jalan sebelum dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Keningau menuju ke Apin-Apin.

“Pemandu terbabit iaitu warga Pakistan berusia 44 tahun bertindak memecut kenderaannya tetapi akhirnya menyerah diri di balai polis beberapa jam selepas kejadian,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

-Hmetro.com.my
Berita penuh...

Sep 28, 2012

RM19 Juta Baiki Rumah Usang Di Sabah

Sebanyak RM19,250, 000 diperuntukkan kepada penduduk Sa- bah untuk membaiki rumah yang telah usang dan perlu diperbaiki dalam Program Nadi Kasih.

Musa (kiri) menyampaikan surat tawaran Program Nadi Kasih Peringkat
 Negeri Sabah kepada Adun Usukan, Datuk Japlin Akim.

Program yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak itu memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada setiap 66 kawasan di seluruh Sabah yang dianggarkan merangkumi 3,850 buah rumah secara keseluruhannya dan setiap rumah akan mendapat sebanyak RM5,000.

“Peruntukan tersebut sememangnya pada masa dan tempatnya di mana Sabah merupakan sebuah negeri yang besar, jadi tentunya banyak rumah penduduk yang perlu diperbaiki dan dipulihkan khususnya di kawasan pedalaman,” kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman ketika berucap di Majlis Pelancaran Taklimat Khas Program Nadi Kasih Peringkat Negeri Sabah, di sini, kelmarin.

Katanya, rakyat yang akan menerima bantuan tersebut pasti akan bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya kepada Perdana Menteri kerana ia dapat meringankan beban dan memberi peluang kepada mereka untuk membaiki rumah yang telah usang dan rosak.

Selain itu katanya, rakyat Malaysia khususnya di Sabah juga seharusnya bersyukur kerana negeri ini telah menerima pelbagai bantuan dan juga mempunyai sebuah kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang begitu prihatin dan memberi perhatian kepada rakyat.

“Banyak dasar-dasar Kerajaan termasuk program-program dan projek-projek yang menjurus kepada membantu dan meringankan beban rakyat,” katanya sambil menyatakan bahawa sejumlah RM 7 juta lagi telah diberikan kepada sebilangan wakil rakyat sebelum ini.

Sementara itu, Musa mengingatkan Ahli Parlimen (MP), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan wakil-wakil rakyat yang hadir pada Majlis tersebut supaya menggunakan peruntukan yang diberikan sebaik mungkin.

“Gunakanlah peruntukan ini sebaik yang mungkin dan berilah kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.

Dalam pada itu, Musa juga merakamkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Perse- kutuan khususnya Perdana Menteri yang telah memberikan Sabah peruntukan yang terbesar setakat ini melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kerajaan Negeri yakin rakyat Sabah mendapat pembelaan yang sewajarnya dan juga percaya bahawa lebih banyak lagi bantuan dan peruntukan akan diberikan selepas ini melalui projek CSR (Corporate Social Responsibity) oleh IMDB,” katanya.

Semua wakil rakyat bebas memilih kontraktor bagi menjalankan kerja pembaikan rumah di setiap kawasan masing-masing tetapi mereka haruslah terdiri daripada kontraktor Kelas F dan kebawah termasuk ‘tukang-tukang kampung’, katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd merangkap Pengarah Program Yayasan 1MDB, Dato’ Sri Shamsul Anwar Sulaiman, Sabah menerima peruntukan dua kali ganda lebih berbanding dengan negeri-negeri yang lain adalah di atas faktor logistik dan keluasan kawasan.

Katanya, kos penghantaran barang-barang binaan di Sabah adalah lebih tinggi berbanding di Semenanjung dan juga negeri ini mempunyai keluasan yang amat besar berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

“Jika kita bandingkan keluasan Sabah, Kinabatangan sahaja, saiznya sama dengan negeri Pahang,” katanya ketika ditanya oleh pemberita selepas majlis berkenaan.

Turut hadir di Majlis berkenaan, Pengarah Operasi Ihsan Perdana Sdn Bhd, Jofa Hilmi Jaafar, Ahli-Ahli Parlimen Sabah, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sabah, dan Ketua-Ketua Umno Bahagian Kawasan Sabah.

-Newsabahtimes.com.my
Berita penuh...

Kenapa UMNO Dengki Anwar Naik Jet?

Tak habis-habis lagi dengan polemik jet mewah ini ya. Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim jujur menjawab soalan para wartawan di lobi Parlimen semalam, isu ini sepatutnya sudah reda, tapi nampaknya tidak begitu.


Lagi dijawab, lagi banyak soalan dan andaian yang timbul.

Penulis boleh faham kalau blogger-blogger UMNO atau facebooker mereka memainkan isu ini kerana itu memang permainan mereka. Tapi bila kelompok yang non-partism pun main isu sama, ini sudah masalah. Kita boleh fahamlah isu ‘kemewahan’ dan ‘pembaziran’ ini isu universal yang boleh menimbulkan persepsi salah bila melibatkan ahli politik – lebih lagi di Malaysia.

Tapi dalam kes jet mewah yang dinaiki Anwar persepsi sedemikian tidak sepatutnya terpakai kerana seperti dijelaskan semalam, jet itu dipinjam dan diuruskan oleh kawan-kawan beliau, bukan menggunakan wangnya sendiri atau wang rakyat.

Sebagai pejuang rakyat, Anwar tidak mempunyai dana sebesar itu untuk ‘memanjakan’ dirinya sendiri. Selama hari ini pun Anwar ke sana ke mari menggunakan khidmat pesawat biasa.

Kalau tidak silap penulis, ada sekali Anwar menggunakan jet peribadi iaitu sebaik dibebaskan Mahkamah pada 2004, itupun dengan tujuan menunaikan umrah selain kos penggunaan jet itu sendiri dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi.

Masih lagi isunya bukan wang rakyat atau harta beliau.

Kalau pun menggunakan wang sendiri, apa pulak masalahnya? Anwar bukan calang-calang orang, beliau adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sudah tentu sepanjang memegang jawatan tersebut beliau ada menyimpan atau menabung wang untuk keperluan masa hadapan.

Itu kalau benarlah beliau menggunakan wang sendiri.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan kenapa pesawat itu perlu disewa dari Amerika Syarikat sana dan seterusnya meningkatkan lagi kosnya. Bukankah ada beberapa syarikat tempatan yang menawarkan perkhidmatan sama di negara ini yang boleh digunakan?

Untuk menjawab persoalan ini, biarlah penulis jelaskan. Sebetulnya, ramai orang tidak tahu, semasa menjadi TPM dahulu Anwar memang diperuntukkan sebuah jet Falcon A900 untuk kegunaan rasmi dan tidak hairan kenapa dalam hal pesawat mewah ini juga, Falcon masih menjadi pilihan Anwar.

Ini adalah logik mudah kenapa pesawat ini perlu disewa dari Amerika Syarikat sana. Memang ada syarikat yang menawarkan perkhidmatan sama di rantau sebelah sini, tapi mungkin pesawat yang digunakan bukan jenis yang biasa digunakan Anwar dulu. Bak kata pepatah ‘Alang-alang memakai, biar berbaloi’.

Apa pun yang penting, isu ini bukanlah besar mana pun.

Rakyat perlu ingat satu perkara ini sahaja, kalau seratus ribu, dua ratus ribu atau sejuta sekali pun wang yang digunakan untuk membiayai perkhidmatan jet ini, jumlah itu masih lagi terlalu kecil jika nak dibanding dengan beratus billion dan trillion wang negara yang digelapkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sepanjang 55 tahun memerintah – rujuk sini.

Ingatkan itu sahaja cukup. Apakah berbaloi menolak Anwar dan Pakatan Rakyat kerana penggunaan wang tidak seberapa untuk membayar kos perkhidmatan pesawat ini dan membiarkan pelahap-pelahap harta rakyat terus bermajarajalela dengan kebobrokan masing-masing?

-Freemalaysiakini2.com
Berita penuh...

Sewa Jet Peribadi Anwar RM96K Apa Cerita

Kos menyewa jet eksekutif selama dua hari untuk membawa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin pakatan pembangkang ke Labuan, Sabah pada pertengahan bulan ini adalah RM96,000 (AS$30,000).


Menurut sumber, kos tersebut meliputi semua caj termasuk bayaran juruterbang, jurutera dan perkhidmatan lain yang dikenakan Tjets Sdn. Bhd. (Tjets).

Difahamkan juga urusan tempahan jet berkenaan dilakukan oleh seorang individu dari Sarawak.

Sementara itu Pengerusi Tjets, Datuk Mohd. Taufik Omar ketika dihubungi Utusan Malaysia menjelaskan, beliau tiada hubungan persahabatan dengan Anwar, sebaliknya perkhidmatan pengurusan penerbangan jet eksekutif yang dinaiki oleh ketua pembangkang itu dilakukan secara profesional.

Jelasnya beliau tidak mengetahui bahawa Anwar akan menjadi penumpang jet eksklusif berkenaan apabila tempahan dibuat.

"Sehinggalah jet mahu berlepas baru saya tahu yang antara penumpang jet tersebut adalah Anwar dan rakan-rakannya. Saya orang berniaga dan menguruskan tempahan secara profesional. Saya tidak pula memeriksa siapa yang akan menjadi penumpang apabila sesuatu tempahan jet eksekutif dibuat," jelasnya.

Sebelum ini seorang penulis blog, John F. Seademon mendakwa Mohd. Taufik yang menyewakan jet tersebut kepada Anwar.

Kisah mengenai jet tersebut mula tercetus apabila Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua pada laman Twitternya telah memuat turun gambar jet eksekutif yang diberi nama Dassault Falcon pada 15 September lalu yang kemudian telah dipetik oleh beberapa blog antaranya http://mediawangsamaju.blogspot.com.

Selain Anwar, turut menaiki jet eksekutif berkenaan ialah Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw; Ketua Pengarah Pilihanraya Pas, Dr. Hatta Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin.

"Apabila saya melihat Anwar menjadi penumpang jet tersebut, apa yang boleh saya buat? Tidak mungkin saya meminta Anwar dan rakan-rakannya turun. Saya hanya sekadar boleh beristigfar dan tunggu apa yang akan berlaku selepas itu," Kata Mohd Taufik lagi.

Menurutnya, tidak banyak syarikat bumiputera yang terlibat dalam industri pengurusan penyediaan jet eksekutif di negara ini, oleh itu tidak adil bagi mana-mana pihak menunding jari dan menuduhnya ada kaitan dengan Anwar hanya kerana hal itu.

"Saya hanya cari makan dan ini adalah salah satu bidang perniagaan saya. Adakah saya bersalah hanya disebabkan Anwar menjadi salah seorang penumpang dalam jet yang diuruskan oleh syarikat saya.

"Saya amat berharap penjelasan ini menceritakan perkara yang sebenarnya berlaku," katanya.

-Utusan
Berita penuh...