Jul 15, 2018

Datuk Mohamad Ariff Dilantik Speaker Dewan Rakyat

KUCHING 15 Julai - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, perkara tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.

“Ya, beliau adalah seorang bekas hakim,” katanya ketika diminta mengulas mengenai siapa yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat yang akan bersidang esok.

Persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 yang dijadual berlangsung selama 20 hari dengan urusan pertama mesyuarat adalah pelantikan Speaker Dewan Rakyat, diikuti majlis angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat dan pelantikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Istiadat pembukaan persidangan dijadual disempurnakan Yang di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada Selasa nanti.

Terdahulu, Dr. Mahathir menghadiri pertemuan hampir sejam bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Kabinet Sarawak mendengar mengenai taklimat pembangunan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini sebentar tadi.

Selepas ini, Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dijadualkan berlepas balik ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 11 pagi nanti. -UTUSAN

0 comments

Post a Comment