Jul 23, 2018

Zahid Hamidi Nafi Kaut 5 Bilion Rupee Dari Pekerja Bangla Melalui Bestinet

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan sebarang kaitan dengan Bestinet Sdn Bhd yang didakwa mengaut keuntungan 5 bilion rupee (RM185 juta) daripada warga Nepal yang bekerja di Malaysia sejak 5 tahun lalu.

Presiden Umno itu ketika ditemui di lobi Parlimen berkata, beliau sedia disiasat berhubung perkara itu.

“Saya tak takut. Saya sedia memberikan bukti terhadap dakwaan pembabitan saya atau saya menyalahgunakan kuasa atau keluarga saya terlibat.

“Mereka boleh siasat, saya sedia tampil ke depan. Saya tidak kisah ia kes lama atau baru. Saya tidak pernah terlibat dan sedia disiasat. Ia bukan syarikat saya,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Nepali Times melaporkan wang yang diperolehi ahli perniagaan dan pegawai Nepal datang daripada bayaran visa serta saringan biometrik membabitkan syarikat Nepal yang ada kaitan dengan Bestinet.

Bestinet yang membangunkan sistem pekerja asing untuk Jabatan Imigresen, didakwa mempunyai kaitan dengan Zahid, beberapa ahli politik Umno dan orang tengah Bangladesh yang mengaut keuntungan daripada pekerja asing Bangladesh.

Ditanya kaitannya dengan Aminul Islam Abdul Nor yang didakwa ialah adik iparnya dari Bangladesh, bekas menteri dalam negeri itu menafikan sebarang hubungan dengan lelaki terbabit.

“Amin ialah orang Bangladesh. Bagaimana dia boleh jadi adik ipar saya? Semua adik perempuan saya sudah kahwin.”

Selain Bestinet yang didakwa dikendalikan Amin, laporan itu turut menamakan sekutu berpangkalan di Kathmandu, Malaysia VLN Nepal dan One Stop Centre (OSC), antara syarikat terbabit dalam skim penipuan pendaftaran pekerja asing.

Zahid turut menafikan memiliki saham dalam syarikat itu kerana Bestinet menjalankan perniagaan sebelum beliau memasuki Kementerian Dalam Negeri. -fmt

0 comments

Post a Comment