Nov 6, 2018

Tony Pua Dibenar Merayu Kes Sama Ada PM Adalah Pegawai Awam

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan memutuskan berhubung isu sama ada perdana menteri ialah pegawai awam atau tidak.

Ini susulan keputusan panel tiga hakim yang memberi kebenaran kepada Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee untuk merayu berhubung saman terhadap kerajaan dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas dakwaan melakukan salah laku dalam jawatan awam.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, yang mempengerusikan panel itu memberi kebenaran kepada Pua untuk merayu, dan membenarkan dua soalan undang-undang yang dikemukakan peguam mewakili Pua untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

Soalan undang-undang yang lain melibatkan definisi "pegawai awam", sama ada definisi itu patut hanya tertakluk pada apa yang dinyatakan dalam Akta Tafsiran 1948 dan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak saman Pua terhadap Najib dan kerajaan selepas memutuskan Najib bukan seorang pegawai awam, dan sehubungan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan melakukan salah laku dalam jawatan awam berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga anggota mahkamah rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu pada April tahun ini selepas menolak rayuan Pua.

Dua soalan itu adalah sama ada perdana menteri atau mana-mana menteri ialah seorang pegawai awam mengikut Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan 1956 bagi tujuan melakukan salah laku dalam jawatan awam; dan sama ada apabila mahkamah, dalam menentukan jika perdana menteri atau mana-mana menteri ialah seorang pegawai awam bagi tujuan melakukan salah laku dalam jawatan awam, adalah terhad oleh definisi "pegawai awam" mengikut Seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 (1957), dibaca bersama Perkara 132 dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Pua menyaman Najib dan kerajaan atas dakwaan melakukan salah laku dalam jawatan awam berhubung isu 1MDB dan memohon ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau mendakwa Najib ialah pegawai awam kerana beliau ialah Ahli Parlimen Pekan, perdana menteri pada ketika itu dan Pengerusi Penasihat Lembaga 1MDB dan bahawa dalam kapasiti itu beliau mempunyai peranan langsung dan tidak langsung dalam keputusan dan arahan 1MDB.

Peguam mewakili Najib, Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun memaklumkan mahkamah berhubung kes sama melibatkan isu pegawai awam yang difailkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih menunggu untuk semakan semula di Mahkamah Persekutuan.

Beliau turut memberitahu mahkamah yang beliau menyokong keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu pegawai awam dalam kes Pua dan mengambil maklum bahawa alasan penghakiman seorang daripada hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yeo Wee Siam, yang beliau membayangkan bahawa sudah tiba masanya untuk menentukan definisi sebenar pegawai awam.

Pua diwakili barisan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, Tan Cheng Leong dan Surendra Ananth manakala Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching mewakili kerajaan. -Bernama

0 comments

Post a Comment