Sep 7, 2012

Maybank Beri Tumpuan Khas Kepada Sabah

TAWAU: Maybank memberi tumpuan khas kepada Sabah dalam mengembangkan cawangan dan operasinya berbanding negeri-negeri lain di negara ini, kata Naib Presiden Eksekutif Maybank Mohd Hanif Suadi.


Dalam pelan pembangunan lima tahun institusi kewangan yang mempunyai 9.3 juta pelanggan di seluruh negara yang bermula pada 2010, katanya Maybank menetapkan untuk membuka sekurang-kurangnya lima cawangannya di Sabah.

“Maybank memberi tumpuan khas kepada Sabah, kerana kepesatan pembangunan di negeri ini sangat laju (pantas),” katanya kepada pemberita selepas perasmian premis baharu Perbankan Persendirian Maybank Cawangan Tawau di sini kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ismail Mayakub, yang mewakili Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Menurut Hanif, antara cawangan baharu Maybank, ada di antaranya sudah beroperasi, terletak di Sandakan, Kota Marudu dan Tuaran.

Mengenai pembukaan Pusat Perbankan Persendirian berkenaan yang menyasarkan golongan berpendapatan tinggi, Hanif berkata ia merupakan bukti komitmen institusi perbankan itu dalam menyahut seruan kerajaan dalam menjana ekonomi lebih aktif dan meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan sosial dan ekonomi.

“Kami sentiasa komited dalam usaha menyediakan (perkhidmatan) perbankan komprehensif dan menepati kehendak setiap peringkat pelanggan khususnya kepada pelanggang bernilai bersih tinggi. Terdapat antara 10-15 peratus pelanggan Maybank yang pendapatan tinggi jarang datang ke (kaunter) bank untuk berurusan,” katanya.

Menurut Hanif, pelanggan persendirian akan menerima layanan khas secara peribadi dari para pegawai bank yang sentiasa bersedia memberikan layanan terbaik.

Pada majlis itu, Hanif menyampaikan cek sumbangan kepada Rumah Kebajikan Sri Stella, Jalan Air Panas Tawau. - NST

0 comments

Post a Comment