Jun 29, 2019

Latheefa Koya Jawab Kritikan Isu Pakaian Seragam SPRM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya hari ini tampil menjawab kritikan berhubung butiran pada pakaian seragamnya.

Dalam kenyataan medianya, Latheefa berterima kasih kepada pihak yang menunjukkan "minat tinggi" terhadap pakaian seragamnya dan mengaku bahawa dia baru sahaja mempelajari berkenaan lencana pangkat, bar ribbon dan pemakaian seragam.

Kata Latheefa, ini demikian kerana keutamaannya sejak mengambil alih tugas adalah dalam menangani kes rasuah.

"Prioriti segera saya sejak mengambil alih tugas adalah melibatkan beberapa kes rasuah yang serius dan bukanlah butiran pemakaian seragam saya," katanya.

Jelas Latheefa, bar ribbon yang dikepilkan pada pakaian seragamnya adalah berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM Bab A (Dasar), Bil 1 Tahun 2012, yang telah mengarahkan bahawa seseorang Ketua Pesuruhjaya berdasarkan jawatannya dikehendaki memakai bar ribbon seperti yang disenaraikan.

Latheefa turut menjelaskan bahawa butiran yang dipakai pada seragamnya bukanlah pingat atau darjah kebesaran dari Istana.

"Walaupun pada asasnya ia adalah betul dan boleh diterima, namun terdapat sedikit kekhilafan dalam bar ribbon yang kini telah pun diperbetulkan.

"Keduanya, saya tidak memakai pingat sebagaimana yang diperkatakan oleh beberapa pihak.

" Bar ribbon ini tidak harus dikelirukan dengan pingat atau darjah kebesaran yang dikurniakan dari pihak istana, sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri.

"Butiran lain di atas baju seragam saya adalah lencana-lencana pangkat yang saya dikehendaki memakai sebagai ketua pesuruhjaya dan adalah berdasarkan perintah tetap," katanya.

Isu berkaitan butiran pakaian seragam Latheefa sebelum ini diperkatakan di media sosial, dengan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa meminta SPRM memperincikan "bintang kebesaran" ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam pula, dengan sinis menyindir: "Mana dia beli bintang banyak-banyak tu?" -Mkini

0 comments

Post a Comment