Sep 3, 2012

Pakatan Rakyat Bakal Berpecah?

Sejak bergabung secara rasmi di bawah nama Pakatan Rakyat pada 1 April 2008, kerjasama antara pakatan tersebut bukannya semakin utuh tetapi semakin hari semakin rapuh. Menjelang PRU-13 ini, pakatan ini seolah-olah tinggal nama sahaja bagaikan suami isteri yang tinggal sebumbung tetapi tidak sehaluan lagi.

Keretakan ‘rumahtangga’ pakatan ini telah diramalkan lebih awal oleh para pemerhati politik tanahair. Bagaimana tiga parti yang bertentangan ideologi mampu bekerjasama sedangkan ideologi adalah nadi bagi sesebuah parti politik.

DAP dikenali sebagai rasis chauvinis tegar, PAS dikenali sebagai pak turut dan PKR dikenali sebagai ‘all rounder’ yakni boleh jadi apa saja, belakang depan, kiri kanan, atas bawah, pusing keliling semua boleh asalkan Anwar Ibrahim menjadi pemimpin tertinggi.

Berdasarkan sifat-sifat ini, kerjasama mereka mungkin boleh berjaya jika PAS rela menjadi pak turut selama-lamanya. Malangnya, masih ada di dalam PAS yang punya pendirian dan tidak sanggup menjadi balaci selamanya, antaranya ialah Datuk Dr. Hassan Ali, Nasharudin Mat Isa dan Nasruddin Hasan.

Ini pastinya menjadi masalah kepada PR. Pemimpin-pemimpin atasan PAS sendiri tidak menyukai golongan berpendirian ini kerana mereka lebih suka PAS kekal menjadi pak turut, mengekori ke mana saja DAP membawa mereka dengan harapan destinasi terakhirnya adalah Putrajaya.

Maka terdengarlah berbagai-bagai versi respon mengenai berita pengguguran Hassan Ali sebagai calon PRU akan datang.

Bagaikan Bujang Lapok, pemimpin-pemimpin PR mentafsirkan berita ini dengan cara masing-masing – di mana Hadi, apabila membacanya berbunyi menafikan, Khalid Ibrahim membacanya berbunyi ‘itu adalah pendirian peribadi Hassan’ dan Kit Siang membaca tak berbunyi langsung. Nik Aziz pula mungkin tidak membaca apa-apa langsung.

Jawapan tegas Hassan Ali mengenai perkara ini memberikan isyarat bahawa pengguguran tersebut pastinya ada kena-mengena dengan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang memperjuangkan Islam, kedudukan Melayu dan raja-raja Melayu.

Jelas, Hadi Awang yang mewakili PAS sedang berada di ambang dilemma kerana memberi jawapan sedemikian sedangkan Hassan Ali sendiri mengakui menerima berita itu. Presiden parti yang kabur mengenai apa yang berlaku dalam partinya dengan sendirinya mencerminkan kekaburan parti itu sendiri. Kita faham kedudukan Hadi yang sukar untuk bertegas dalam memperkatakan tentang pendirian Hassan Ali kerana takut dengan DAP tetapi di masa yang sama takut PAS kehilangan undi dari umat Melayu.

Jawapan Khalid Ibrahim yang tidak mahu PKR dikaitkan pendirian Hassan Ali untuk ‘terus memperjuangkan Melayu, Islam dan raja-raja Melayu’ membuktikan bahawa parti itu mengambil pendirian bertentangan iaitu, tidak ingin memperjuangkan Melayu, Islam malah menentang raja-raja Melayu.

DAP bijak kerana tidak masuk campur dalam hal ini secara terang-terangan sedangkan umum tahu bahawa DAPlah punca Hassan Ali terpaksa membangkitkan soal mempertahankan Melayu, Islam dan raja-raja Melayu.

Kepimpinan tertinggi PAS sedaya upaya cuba mengenepikan dan meremehkan soal pengguguran Hassan Ali, namun tidak berjaya kerana Pemuda PAS pula bangkit untuk bersama Hassan Ali. Lalu, sedikit demi sedikit isu Hassan Ali ini menjadi besar.

Oleh itu, lambat laun para pemimpin PR akan terpaksa jua mengakui hakikat bahawa rumahtangga mereka telah pun runtuh malah perkahwinan mereka juga tidak sah sebenarnya. Dengan kewujudan buku hijau sebagai ‘sisipan’ buku jingga sudah cukup untuk membuktikan yang pakatan mereka tidak berjaya. Justeru, tidak mustahil, PR akan bercerai sebelum tiba Pilihanraya.

Sehingga kini, baik Hassan Ali mahupun Pemuda PAS kedua-duanya masih tetap melaungkan kesetiaan kepada PAS dan inginkan agar perjuangan mulia demi Melayu dan Islam ini dilakukan bersama-sama PAS. Kita hormati pendirian mereka kerana mereka pastinya mempunyai alasan tersendiri untuk terus bergantung kepada tiket PAS.

Lagipun, di pihak UMNO, UMNO tidak pernah jemu menyeru ke arah penyatuan ummah. UMNO telah lama menyatakan yang UMNO tidak punya masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi mempertahankan agama, bangsa dan negara. - (Oleh: Iskandar Zulfi - Mynewshub.my)

0 comments

Post a Comment