Sep 8, 2012

Rakyat Kelantan tidak boleh harap Pas

KOTA BHARU- Rakyat Kelantan diminta tidak boleh meletakkan harapan yang tinggi pada kepimpinan Pas kerana perjuangannya sangat berbeza dengan dasar kepimpinan yang dibawa Barisan Nasional (BN) dan Umno dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Umno: Rakyat Kelantan tidak boleh harap Pas

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron berkata, hal ini kerana semangat perjuangan BN sebagai sebuah parti keramat adalah berada di landasan yang betul berlandaskan agama dan antara lainnya saling menghormati tanpa mengira kaum.

"Umno tetap dengan perjuangan meletakkan Islam sebagai agenda utama di samping tidak melupakan rakan-rakan yang lain. Pendirian kita adalah mencari persamaan dan tidak sesekali menjauhi perbezaan," katanya sempena Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Kota Bharu di sini, semalam.

Hadir sama pada persidangan tersebut, Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd fatmi Che Salleh; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kota Bharu, Rosmadi Ismail; Ketua Wanita Umno Bahagian, Datin Dr Nik Azizah Nik Yahya dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian, Maznah Yaakob.

Pada persidangan tersebut juga Idris yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Nasional Berhad menyerahkan kunci kepada 32 keluarga yang layak menerima Rumah Mesra Rakyat.

Sebelum ini, dalam ucapan, Mohd Fatmi menjelaskan, perjuangan utama Umno ditubuhkan sebagai wadah bagi menyahut saranan orang Melayu untuk bersatu yang begitu ketara perbezaan dengan parti-parti pembangkang.

Katanya, budaya Umno mempunyai sikap menghormati pihak-pihak lain berbanding dengan sesetengah pemimpin dan penyokong parti pembangkang bersikap ganas dan agresif pada masa yang sama menganjurkan permusuhan sesama anggota masyarakat.

"Budaya Umno mendominasi sikap perdamaian serta mempelopori persefahaman yang menjadi asas perjuangan ke arah membina sebuah negara yang berpaksikan kepada kestabilan politik bagi mempertahankan perpaduan antara kaum bagi rakyat keseluruhannya.

"Saya berharap golongan muda mempertahankan budaya menghormati pihak lain serta menentang keganasan yang bertujuan mencetuskan huru-hara dalam masyarakat," katanya.

-SinarHarian

0 comments

Post a Comment