Sep 3, 2012

Veteran Perang Iraq Bunuh Diri

PADA waktu tengah hari dalam musim panas tahun 2009 di Champion, Ohio, Michael Ecker yang merupakan veteran perang Iraq berusia 25 tahun memanggil bapanya ke sebuah kawasan hijau di belakang kediaman mereka. Sejurus bapanya sampai, Michael memberi tabik hormat, menghala pistol ke arah diri sendiri dan menarik picunya.

"Matanya terbuntang. Tiada apa yang dapat saya lakukan," keluh bapanya, Matt ketika mengenang tragedi itu.

MICHAEL (tengah) bersama ibu bapanya sewaktu 
berkhidmat dalam pasukan tentera AS suatu masa dahulu

Beberapa minggu sebelum itu, Michael menerima sepucuk surat daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (VA) yang mendakwa dia membesar-besarkan tahap masalah psikiatri yang dialaminya.

Ia terjadi berikutan gangguan berterusan Michael yang didiagnosis mengalami kecederaan trauma otak sepanjang dia berada di medan perang.

Sekembalinya ke tanah air selepas perang, dia cuba mendapatkan pekerjaan tetap, menikmati faedah kurang upaya daripada VA dan menyambung kehidupan senormal mungkin.

"Saya terfikir untuk mencari doktor tersebut dan mengherdik: Membesar-besarkan masalah? sambil menunjukkan sijil kematian anak saya," kata Matt.

Isu kritikal

Setiap setengah jam di Amerika Syarikat (AS), seorang veteran dalam sistem penjagaan kesihatan VA dilaporkan membunuh diri.

Presiden Barack Obama sendiri memberi perhatian kepada usaha menghalang insiden bunuh diri sebagai satu keutamaan dalam isu veteran tentera semasa berkempen pada tahun 2008.

Beliau malah memetik kes seorang veteran Perang Dunia Kedua yang bertindak meragut nyawa sendiri selepas mengadu tentang masalah rawatan oleh VA.

"Kami perlu melakukan yang lebih baik. Semua usaha perlu dijalankan segera," ujar beliau dalam satu ceramah di Charleston, West Virginia pada 12 Mei 2008.

Hampir tiga tahun selepas insiden tragis Michael, pentadbiran Obama menggandakan usaha untuk menangani masalah bunuh diri dalam kalangan veteran, yang sebahagian daripadanya dimulakan pada penghujung pentadbiran Bush.

VA kini menggajikan lebih ramai kakitangan pencegahan kes bunuh diri dan menaik taraf usaha mengesan pesakit berisiko tinggi. Faedah lain untuk membantu veteran juga dikembangkan, terutamanya dari segi pendidikan dalam Akta GI 2008.

Kemungkinan besar perkara yang boleh dibanggakan dalam usaha VA menentang trend bunuh diri ini adalah penyediaan khidmat talian sokongan.

Perkhidmatan itu menerima setengah juta panggilan sejak dimulakan pada 2007 dan membabitkan lebih 20,000 penyelamat yang antara lain melayan perbualan dalam talian serta penghantaran pesanan ringkas.

VA juga mempertingkat usaha pengumpulan data dan angka yang dilihat bermasalah ialah pada tahun 2011 iaitu sebanyak 17,754 cubaan bunuh diri direkodkan atau bersamaan dengan kira-kira 48 kes sehari, pertambahan berbanding 10,888 kes pada 2009.

Dalam tinjauan Reuters di kesemua 50 negeri, hanya 32 buah negeri sahaja yang mempunyai data dari tahun 2005 hingga 2010.

Walaupun berlaku ketidaksempurnaan data, VA menganggarkan ketepatannya pada 78 peratus hingga 90 peratus dan jabatan itu percaya angka tersebut konsisten dengan trend yang dipantau mereka,

Kesihatan mental

Menurut Shinseki dalam satu temu bual, masalah bunuh diri dalam kalangan veteran dilihat berkaitan dengan persoalan lebih besar iaitu kesihatan mental di seluruh AS itu sendiri dan dia menunjukkan data yang menunjukkan bunuh diri ialah punca kematian kedua tertinggi bagi penduduk berusia 25 hingga 34 tahun dan keempat terbesar bagi lingkungan usia 35 hingga 54 tahun.

"Kita mempunyai masalah. Adakah kesihatan mental menjadi isu di negara ini? Tiada pihak yang membicarakan hal tersebut," katanya lagi.

Salinan surat VA kepada Michael bertarikh 29 Julai 2009 menunjukkan jabatan itu menafikan kenaikan faedah dari AS$974 (RM3,035) yang diterimanya setiap bulan atas alasan 'membesar-besarkan' hal tentang gangguan emosi dan masalah memori.

VA dalam kenyataannya menyebut, kematian Michael sebagai satu perkara tragik dan jabatan itu bersimpati dengan keluarga dan orang terdekat dengan mangsa.

Matt sebagai bapa, masih tertanya-tanya pada diri sendiri setiap hari sama ada kes yang menimpa Michael dapat dielakkan sekiranya dia menerima rawatan lebih baik atau mendapat kerjaya yang lebih sesuai dengan keadaannya.

Matt juga bingung sama ada anaknya itu mungkin mengalami nasib sebaliknya jika kembali kepada VA.

Pergi berperang sememangnya berisiko namun dalam kes melibatkan Michael, pulang dari perang juga satu bentuk risiko.

"Sama sahaja bahayanya kerana di luar sana wujudnya kekurangan pekerjaan dan pelbagai lagi kekurangan," keluhnya panjang. - Reuters

0 comments

Post a Comment