May 29, 2018

Elaun imam Di Sabah Perlu Diseragamkan Dengan Semenanjung

TAWAU: Isu bayaran elaun para imam di negeri ini yang lebih rendah berbanding di Semenanjung Malaysia akan dikemukakan kepada kementerian berkaitan bagi pertimbangkan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew.

Menurutnya, pihaknya mengambil maklum perkara yang diluahkan para imam di negeri ini yang hanya dibayar RM850 berbanding rakan sejawat lain di Semenanjung yang menerima bayaran dari RM1,000 sehingga RM1,200.

“Permintaan ini telah dibuat Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Darwis Dahlan bersama rakan-rakannya agar mereka menerima bayaran yang sama atau selari dengan di Semenanjung,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata selepas Penyerahan Kurma Kepada 64 Imam yang mewakili masjid dan surau masing-masing bagi Parlimen Tawau di Masjid Al-Khausar.

Katanya, perkara itu perlu ekoran elaun yang diberikan kepada para imam di negeri ini terlalu rendah berbanding rakan mereka yang lain sedangkan tugas dan tanggungjawab yang dipikul adalah sama.

Sementara itu dalam hal berasingan Christina berkata Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menyasarkan untuk mempertingkat kedatangan pelancong berulang ke negeri ini.

Menurutnya, Sabah akan dipromosi dengan lebih meluas sebagai destinasi pelancongan yang dapat memenuhi keperluan pelancong sama ada dari Eropah mahupun Asia ke arah mencapai sasaran sejuta pelancong ke negeri ini.

“Kami di kementerian sedang menyediakan rancangan untuk mempromosikan Sabah kepada kedua-dua jenis pelancong ini kerana kita mempunyai kemudahan dan tarikan untuk memenuhi kriteria mereka,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan bersama pemain indutri pelancongan di Tawau.

Katanya, pelancong Eropah dan Asia mempunyai permintaan yang berbeza berkaitan dengan pakej pelancongan mereka tetapi negeri ini boleh keperluan mereka dan berusaha untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik.

“Saya juga telah menerima laporan bahawa bayaran yang dikenakan kepada pelancong asing untuk mendaki Gunung Kinabalu atau memasuki Taman Nasional adalah tinggi.

“Dan ini kita perlu lihat semula kerana kita mahu pelancong datang semula berulang ke negeri ini dan bukan menyebabkan mereka enggan datang ke sini lagi kerana bayaran yang tinggi,” katanya.

0 comments

Post a Comment