Jun 20, 2018

Bazar Ramadhan: Orang Lain Jual Tapak, Orang BERSATU Nama Rosak

Sekumpulan individu yang mengaku sebagai peniaga bazar di Jalan Masjid India hari ini menafikan dakwaan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bukit Bintang mengenakan bayaran tinggi bagi tapak perniagaan berkenaan.

Mohamad Azman Abdul Rahman yang mendakwa mewakili 40 peniaga bazar dikendalikan Ketua Pemuda BERSATU Bukit Bintang Mohd Noorhisyam Abd Karim, menegaskan semua dakwaan berhubung salah laku yang turut melibatkan Anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun sebagai tidak berasas.

Menurut Azman lagi, dia ialah ketua bagi mengendalikan peniaga yang menyertai bazar berkenaan.

Katanya hanya 40 tapak saja yang digunakan berbanding 80 diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana terdapat kendera saji (food truck ) yang beroperasi di situ.

"Tapak ini kita beri pada (peniaga) yang susah. Mereka tak perlu bayar apa-apa sebab semuanya telah dibayar.

"Jadi yang kata Sam (Noorhisyam) ini dapat RM400,000 (sebab menjual satu tapak dengan harga RM5,000) tak betul. Itu fitnah.

"Saya yang bertanggungjawab pasang khemah dan panggil peniaga ini masuk berniaga dalam khemah dan tidak mengenakan sebarang bayaran pun.

Bayaran lesen yang dikenakan DBKL juga telah diuruskan oleh Setiausaha Kerja Persatuan Peniaga Melayu Pasar Harian Selayang, Saiful Akmal.

"Usaha yang dibuat oleh Noorhisyam untuk bantu kami yang tertindas selama ini.

"Fong juga beri sokongan untuk kami dapat berniaga," katanya kepada pemberita di Jalan Masjid India.

Kena fikir logik

Azman berkata demikian ekoran ada laporan mendakwa Noorhisyam mengenakan bayaran RM5,000 bagi satu tapak penjaja berbanding harga sebenar yang lebih rendah diluluskan DBKL.

DBKL meluluskan 80 lot tapak bagi menjalankan perniagaan selama sembilan hari.

Untuk kesemua 80 tapak selama sembilan hari hanya berjumlah RM6,238.

Sehubungan itu, Azman berkata dakwaan yang wujud kononnya Noorhisyam mengambil duit sengaja ditimbulkan bagi mengelirukan perkara sebenar.

Ini kerana, Azman mendakwa wujud tapak bazar di lokasi lain - bukan di Jalan Masjid India - yang mengenakan bayaran tinggi kepada peniaga.

Malah, katanya, wujud juga kekeliruan ekoran individu yang didakwa melakukan 'penyelewengan' itu mempunyai nama sama dengan Noorhisyam.

"Terdapat orang lain yang nama sama yang lakukan penjualan tapak bazar.

"Tetapi Noorhisyam BERSATU Bukit Bintang pula yang kena fitnah.

"Lagipun kalau fikir logik siapa nak bayar RM5,000 untuk satu tapak selama lima hari?

"Khemah pun pihak saya belikan untuk bantu peniaga.

"Jadi tiada isu yang mendakwa berlaku kutipan sampai RM5,000 untuk satu tapak," ujarnya lagi.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Noorhisyam dan Fong terpalit dengan dakwaan menggunakan hubungan politik untuk mengaut ratusan ribu ringgit kerana menganjurkan bazar Ramadan.

Dalam tinjauan di sekitar Jalan Masjid India turut mendapati, peniaga yang menjalani perniagaan di kawasan tapak berkenaan dikehendaki membayar lebih RM3,000 untuk satu tapak.

Namun dakwaan berkenaan dinafikan Noorhisyam.

Ekoran itu juga, Noorhisyam serta Fong membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut. -malaysiakini

0 comments

Post a Comment