Jun 11, 2018

Dana Pendapatan Asas Golongan Miskin Akan Diwujudkan?

Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin mempertimbangkan rombakan ke atas dasar manfaat kebajikan negara dengan menyediakan bantuan pendapatan asas kepada golongan miskin.

Daim, yang mempengerusikan Majlis Penasihat Kerajaan berkata kerajaan sebelum ini membelanjakan kira-kira RM37 bilion ke atas subsidi dan agihan wang tunai seperti BR1M, yang disifatkannya sebagai membazir.

Sebaliknya, tambah Daim, wang itu dibelanjakan dengan lebih baik jika disalurkan kepada dana yang akan melabur dalam aset.

Hasilnya akan diagihkan kepada golongan miskin sebagai pendapatan asas bulanan yang lebih bermanfaat berbanding bayaran one-off, katanya.

"Setiap tahun, wang dibazirkan, dalam masa sama situasi tetap sama.

"Jika kita melabur dengan baik, saya fikir ada pendapatan yang cukup untuk menjamin keperluan golongan ini," kata Daim seperti dilapor Bloomberg.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan bahawa lebih 7 juta rakyat akan menerima agihan BR1M pada 2018 yang kesemuanya berjumlah RM6.12 bilion daripada peruntukan kerajaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengkritik BR1M sebagai cara BN yang merupakan parti pemerintah ketika itu mendapatkan sokongan politik.

Susulan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN), kerajaan baru itu mengumumkan akan menggantikan BR1M dengan bantuan sara hidup.

Walaupun pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang dilihat cuba mencapai status negara berpendapatan tinggi, Daim berkata, kerajaan baru lebih tertumpu untuk mewujudkan perkembangan lestari dan inklusif.

"Tak ada guna kata pendapatan tinggi apabila 7 juta bergantung pada BR1M.

"Apa yang kita mahu adalah sebuah negara maju yang mana semua orang mempunyai peluang meningkatkan ekonomi mereka.

"Ini memerlukan pengenalan dasar-dasar yang menggalakkan perniagaan dalam masa sama memastikan kebajikan rakyat," katanya. -malaysiakini

0 comments

Post a Comment