Jika 2017 mencatatkan tempoh sela pembayaran gaji terpanjang sebanyak 42 hari, 2018 pula akan lebih mencabar apabila penjawat awam terpaksa menunggu 48 hari untuk mendapat bayaran gaji yang berikutnya.
Tempoh 48 hari ini bermula selepas gaji bulan Jun dibayar pada 7 haribulan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Gaji untuk Julai dijadual hanya akan diterima pada 25 Julai nanti.
Lazimnya gaji penjawat awam dibayar pada 25 haribulan setiap bulan tetapi dalam keadaan tertentu seperti musim perayaan, pembayaran gaji dibuat lebih awal.
Bayaran gaji awal juga boleh berlaku pada hari Khamis terdekat dengan tarikh 25 haribulan sekiranya tarikh itu jatuh pada hari-hari antara Jumaat, Sabtu atau Ahad.
Sepanjang tahun 2018 sahaja pembayaran gaji awal dibuat sebanyak empat kali. Semuanya dilakukan bersempena hari perayaan.
Bayaran gaji awal pertama tahun ini adalah sempena Tahun Baru Cina pada 8 Feb (17 hari lebih awal).
Ini diikuti bayaran awal sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 7 Jun (18 hari lebih awal), Hari Raya Aidiladha pada 14 Ogos (11 hari lebih awal) dan Hari Krismas 18 Dis (5 hari lebih awal).
Berbanding pada 2017, pembayaran gaji awal sepanjang tahun berkenaan dibuat sebanyak tiga kali iaitu sempena Tahun Baru Cina dan Thaipusam, masing-masing pada 19 Jan, 2017, Hari Raya Aidilfitri (15 Jun) dan Hari Deepavali (11 Okt).
Daripada sela 30 hari yang biasa dilalui, tempoh antara pembayaran gaji boleh meningkat kepada 48 hari iaitu tempoh hampir 50 peratus lebih panjang daripada biasa!
Untuk rekod, selain jarak 48 hari yang dinyatakan di atas, sela antara bayaran gaji awal pada 2018 ialah sempena Tahun Baru Cina pada 8 Feb hingga 22 Mac dan Hari Raya Aidiladha pada 18 Ogos hingga 25 Sept masing-masing adalah 42 hari.
Sela bayaran gaji awal sempena Hari Krismas pada 18 Dis hingga 24 Jan, 2019 pula adalah 37 hari.
Bayaran gaji awal sememangnya dinanti-nantikan para penjawat awam.
Sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban peningkatan keperluan berbelanja sempena hari perayaan tetapi jika perbelanjaan tidak dikawal, ia boleh mendatangkan mudarat.
Bayangkan jika dompet semakin “menipis” dan gaji yang diperoleh lebih awal itu sudah hampir habis dibelanjakan, sedangkan tempoh bayaran gaji yang berikutnya begitu panjang.
Untuk sambutan hari raya, banyak belanja diperlukan seperti membeli baju raya dan perhiasan rumah, servis kenderaan dan peruntukan duit raya.
Oleh itu perancangan perbelanjaan amat penting.
Selain berbelanja berdasarkan keperluan, membuat catatan rancangan belanja dan lejar perbelanjaan juga boleh membantu mengelak daripada “poket menjadi koyak!”
Macam-macam cara boleh digunakan untuk mencatat perbelanjaan.
Daripada cara konvensional menggunakan pen dan kertas hinggalah penggunaan teknologi terkini seperti templat belanjawan yang tersedia dalam perisian Microsoft Excel.
Bagi yang menggunakan telefon pintar, urusan mereka jadi lebih mudah dengan adanya pelbagai aplikasi pintar untuk mengawal perbelanjaan yang boleh dimuat turun secara percuma.
Berdasarkan artikel dalam laman sesawang The Droid Guy (www.thedroidguy.com) yang ditulis pada 28 Mei lepas, terdapat lima aplikasi pengurusan kewangan peribadi paling popular iaitu Mint, Spendee, Wallet Budget Money Tracker, Mvelopes Budget App dan Penny.
Di Malaysia, aplikasi ‘Buku 555 – Pengurus Hutang Anda’ menjadi buah mulut pengguna telefon pintar kerana mengingatkan kembali nostalgia penggunaan buku nota 555 yang biasa digunakan untuk merekod nota termasuk hutang di kedai runcit dan kedai makan hanya dengan seruan “Masuk buku, boss!”
Perlu juga diingatkan agar kita tidak berbelanja berlebih-lebihan sehingga membazir untuk sambutan hari raya bahawa sebarang perbuatan yang menjurus kepada pembaziran ditegah agama.
Selain mengawal perbelanjaan, menambah sumber pendapatan juga adalah satu langkah yang boleh dipertimbangkan.
Sempena hari raya jualan kuih raya, baju kurung, selendang, pewangi, serunding, muruku, kerepek dan aksesori kenderaan dilaporkan meningkat.
Mereka yang berminat boleh menggunakan peluang berniaga untuk barangan berkenaan.
Selain itu, jualan secara dalam talian sebagai “dropshipper” juga satu pilihan yang semakin mendapat perhatian pada masa ini kerana ia tidak memerlukan modal yang besar selain boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Ada juga yang menawarkan perkhidmatan membersih rumah dan premis perniagaan.
Bagi mahasiswi, perkhidmatan pengasuh kanak-kanak juga satu peluang yang boleh diterokai mengambil peluang di sebalik kesibukan para ibu bapa bekerja dan menyediakan keperluan hari raya.
Apa yang penting, di sebalik keghairahan menyambut lebaran, seseorang penjawat awam perlulah membuat perancangan perbelanjaan yang baik.
Janganlah waktu hari raya, semuanya nampak gah dan hebat tetapi akhirnya terpaksa makan mi segera atau serdak kuih raya, lebih parah apabila terpaksa “mengikat perut” sementara menunggu hari gaji seterusnya.
Ulasan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis.
-bernama
0 comments
Post a Comment