PENAMPANG - Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam penghasilan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk sejak 15 tahun lalu ditahan dalam serbuan di Kampung Kibunut di sini pada Jumaat lalu.
Dalam serbuan pada pukul 1.37 pagi itu, suspek yang merupakan rakyat tempatan dan berusia 46 tahun ditahan di kediamannya bersama bakakuk.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, suspek membuat bakakuk untuk memenuhi permintaan di kawasan sekitar.
"Suspek yang bekerja sebagai petani itu mengaku mempunyai kepakaran untuk menghasilkan bakakuk memandangkan semua senjata yang dirampas dihasilkannya sendiri.
"Lelaki terbabit mendakwa, bakakuk berkenaan lazimnya digunakan untuk menjaga tanaman.
Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan dia turut menghasilkannya untuk dijual kepada orang awam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Menurut Mohd. Haris, pemeriksaan di kediaman suspek menemui tiga laras bakakuk, 184 peluru 5.56 milimeter (mm), satu peluru hidup, seunit kelopak jenis senjata M16 dan alatan membuat senjata.
Tambahnya, suspek yang juga bekas pekerja kontraktor di sebuah syarikat pembersihan agensi keselamatan dipercayai mencuri peluru tersebut ketika proses pelupusan dilakukan.
Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (c) Akta Senjata 1960. -kosmo
0 comments
Post a Comment