Jun 20, 2018

Penyokong Jepun 'Bersihkan' Stadium

MASYARAKAT Jepun amat menitikberatkan aspek kebersihan. Meskipun berada di bumi asing, rakyat Jepun tetap membawa budaya tersebut semasa menyaksikan perlawanan Piala Dunia di Rusia.

Sebaik sahaja selesai aksi Jepun menentang Colombia malam Selasa, penyokong Jepun dilihat mengutip sampah sarap di barisan tempat duduk mereka di dalam stadium.

Berbekalkan plastik sampah hitam yang dibawa bersama, penyokong Jepun beratur di sepanjang tempat duduk mereka untuk keluar dari stadium sambil mengutip sampah sarap yang kelihatan.

Mereka hanya meninggalkan kawasan tempat duduk mereka sebaik sahaja ia bersih.

Ini bukan kali pertama penyokong 'Samurai Blue' berbuat demikian.

"Ia bukan sahaja mengenai budaya bola sepak tetapi sebahagian daripada budaya Jepun.

"Anda sering terdengar orang berkata bola sepak merupakan refleksi budaya.

"Aspek penting dalam masyarakat Jepun adalah memastikan segalanya kekal bersih.

"Ia dapat dilihat dalam semua acara sukan dan begitu juga bola sepak," kata wartawan sukan Scott Mclntyre yang berpangkalan di Jepun kepada BBC.

McIntyre berada di Rusia bagi membuat liputan pasukan Jepun dan tidak terkejut dengan budaya yang dipamerkan penyokong Samurai Blue.

Pada perlawanan itu, Jepun menundukkan Colombia 2-1 pada aksi Kumpulan H, sekali gus merekodkan kemenangan pertama mereka ke atas sebuah pasukan dari Amerika Selatan. -mstar

0 comments

Post a Comment