Oct 19, 2018

Dakwaan Pengubahan Wang Haram Dan Pecah Amanah Zahid Hamidi

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Zahid, 65, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.

Bagi pertuduhan pertama sehingga ke-25, Zahid didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram.

Iaitu dengan memberi arahan untuk mendepositkan wang antara RM600,000 hingga RM9.35 juta ke dalam akaun bernombor 264258871612 dan juga 'AKAUN PELABURAN AM-i' bernombor 264258871605 sebagai Simpanan Tetap, melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Tetuan Lewis & Co, Peguambela dan Peguamcara, di mana ia merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Malayan Banking Berhad, cawangan Dataran Maybank, Aras 1, Tower A, No. 1 Jalan Maarof, Bangsar dekat Kuala Lumpur antara 27 Mei 2016 hingga 11 April 2018.

Bagi pertuduhan ke-26, Zahid didakwa melakukan kesalahan sama iaitu dengan memberi arahan berhubung pembelian dua buah rumah banglo di Mukim Kajang, Daerah Hulu Langat bernilai RM5.9 juta, menggunakan cek Malayan Banking Berhad milik Tetuan Lewis & Co, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tempat sama pada 9 Jan 2017.
Bagi pertuduhan ke-27, Zahid, melakukan kesalahan serupa dengan cara mengarahkan Omar Abdullah, 46, untuk mengubah bagi pihak tertuduh wang tunai berjumlah RM6,885.270.20 kepada 30 keping cek yang kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co. untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank, yang mana ia merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Marhaba Enterprise Sdn Bhd, LG 1.15, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, dekat sini pada 29 Mac 2016 dan 15 Julai 2016.

Pendakwaan untuk kesemua pertuduhan berkenaan adalah mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 10 tuduhan pecah amanah Zahid didakwa sebagai seorang ejen iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang telah diamanahkan wang berjumlah RM20,833,132.99 milik yayasan tersebut telah melakukan pecah amanah jenayah wang tersebut.

Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Jalan Bunus, No. 133, Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India, di sini antara 13 Jan 2014 dan 11 Jan 2016 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, dan sebatan dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan. -malaysiakini

0 comments

Post a Comment