Mar 7, 2014

700 Belia Keningau Terima Lesen BL1M

KENINGAU: Seramai 700 belia daripada 1,100 pemohon bagi Kawasan Parlimen Keningau yang memohon Program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) akan menerima lesen L masing-masing, secara berperingkat bermula selasa lalu.


Ketua Pemuda Umno Keningau, Nik Mohd Nazri Nik Zawawi, berkata agihan fasa 1 kelmarin menyaksikan seramai 286 pemohon sekitar Keningau dan Tambunan telah menerima Lesen L masing-masing, selepas tamat menyertai kursus di Institut Latihan memandu di sini.

Katanya, kelewatan agihan berlaku atas masalah teknikal terutama maklumat pemohon dan peserta kursus yang mengubah alamat serta talian perhubungan tanpa memberi makluman kepada pengurusan program itu.

“Kelewatan pengeluaran dan penyerahan Lesen L berlaku apabila ramai pemohon tidak mengemaskini maklumat selepas membuat perubahan maklumat semasa menyertai kursus Latihan memandu, menyebabkan kesukaran pihak pengurusan BL1M untuk menghubungi pemohon untuk tujuan semakan dan penyerahan, justeru kita berharap pemohon dan penerima agar mengemas kini dan memaklumkan kepada pihak pengurusan program ini agar agihan berjalan lancar” katanya selepas majlis penyerahan BL1M di pejabat Pergerakan Pemuda Umno di sini kelmarin.

Hadir sama barisan ahli jawatankuasa tertinggi Pemuda Umno Keningau.

Dalam masa yang sama Nik menyeru penerima BL1M agar memanfaatkan bantuan untuk terus mendapatkan lesen memandu mengikut prosedur, bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan ketika menunggang motosikal tanpa lesen seterusnya membahayakan keselamatan diri.

“Kita berharap bantuan ini akan dapat membantu lebih ramai belia khususnya mendapat kemudahan lesen memandu yang sah dan memudahkan pergerakan tanpa ragu dan menyalahi undang-undang jalan raya, dalam pada itu menasihatkan penerima agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya ketika menggunakan lesen L yang diberikan sementara me- neruskan latihan bagi mendapatkan lesen motosikal” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik berkata pelbagai program lagi akan dilaksanakan membabitkan belia tanpa mengira fahaman politik, bagi menyemarakkan lagi jalinan persahabatan antara generasi belia, terutama membimbing belia yang berintegriti serta mempunyai kemahiran untuk menjamin masa depan.

Katanya, antara program membabitkan generasi belia antaranya aktiviti sukan dan rekreasi,seminar kerjaya dan program kemasyarakatan termasuk penambahan ahli pemuda.

“Permasalahan belia, khususnya ahli pemuda yang dikemukakan kepada kita akan diatasi segera kerana peranan kita bukan hanya dalam pergerakan pemuda itu sahaja tetapi meliputi golongan belia di luar sana.

-New Sabah Times

0 comments

Post a Comment