May 26, 2018

Jamal Yunos Hilang Dari Hospital Lari Dari Tahanan?

KUALA LUMPUR - Misteri kehilangan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos dari Hospital Pakar Ampang Puteri di sini semalam masih menjadi tanda tanya namun peguamnya percaya kejadian tersebut hanyalah disebabkan satu salah faham di antara mereka.

Peguam, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, anak guamnya itu mungkin beranggapan bahawa proses ikat jamin telah sempurna dan membuat keputusan untuk keluar dari hospital tersebut.

"Ini adalah pengalaman pertama beliau dalam menghadapi situasi atau prosedur pertuduhan luar kamar mahkamah dan saya juga percaya bahawa ini adalah kes kekhilafan tanpa sebarang niat melakukan apa-apa jenayah termasuk niat untuk lari dari tahanan.

"Saya khuatir beliau dalam keadaan trauma atau tekanan memandangkan situasi dan keadaan ini adalah sesuatu yang baharu untuk beliau," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Imran turut memohon pertolongan rakan-rakan agar dapat membantu mereka serta pihak polis mendapatkan Jamal semula agar proses ikat jamin tersebut dapat disempurnakan tanpa sebarang implikasi terhadap mana-mana pihak.

"Saya memohon kemaafan daripada semua pihak yang terlibat terutamanya Polis Diraja Malaysia, mahkamah dan hospital dan juga memohon supaya Datuk Seri Jamal Yunos dapat menghubungi kami kumpulan peguam atau hadir terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi menyempurnakan proses ikat jamin tersebut.

"Saya turut percaya pihak Polis akan memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya tanpa perlu ada sebarang tangkapan," katanya.

Semalam, Jamal menghilangkan diri sekitar pukul 3 petang semasa proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang disiapkan berhubung tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Beliau sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak di hadapan pintu pagar utama Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda RM400 jika sabit kesalahan. -kosmo

0 comments

Post a Comment