May 26, 2018

Ops Bersepadu Aidilfitri Bermula 7 Jun 2018

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan akan melancarkan Ops Bersepadu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selama dua minggu bermula 7 Jun bagi mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya, kata Menterinya, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, operasi yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu akan dilancarkan secara serentak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan dan di semua pintu keluar dari Lembah Klang.

"Kami akan buat program advokasi di Sungai Buloh atau Rawang dan di pantai timur. Program ini juga kami akan laksanakan di beberapa kawasan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Loke turut melawat kaunter Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang terletak di Galeria PJH di Presint 4, dan mengarahkan semua kaunter suruhanjaya itu untuk beroperasi seperti biasa dan tidak menolak sebarang permohonan baharu ekoran pengumuman pembubaran SPAD pada Rabu lalu.

"Mereka perlu terima semua permohonan seperti permit kenderaan perdagangan dan bas tambahan.

"Permohonan itu diterima seperti biasa, tetapi kelulusan itu akan diberikan oleh Ketua Setiausaha kementerian," katanya. -kosmo

0 comments

Post a Comment