May 26, 2018

Tuntut Wang Rampasan RM114 Juta, UMNO Perlu Buktikan Bukan Parti Kleptokrasi

SHAH ALAM - Penasihat DAP Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa hanya Umno yang menuntut wang rampasan polis RM114 juta yang dirampas kondominium mewah Pavilion Residences, dan bukannya BN.

Menurutnya, jika Umno sahaja yang menuntut, ini memberi gambaran bahawa parti komponen lain dalam BN hanya parti pelengkap semata-mata.

Katanya, sekiranya ia milik BN, maka MCA, Gerakan, MIC serta parti komponen lain perlu senada dengan Umno sekali gus menepis spekulasi wang itu milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ia juga bukti mencerminkan bahawa Umno sebagai parti yang dominan dan 12 parti lain hanya sebagai pelengkap dalam parti itu ,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau turut meminta Umno menjawab beberapa persoalan terutama adakah tuntutan yang dibuat bagi pihak Majlis Tertinggi Umno atau oleh proksi bagi pihak Najib.

“Jika benar tuntutan itu dari Umno, adakah mereka tahu berapa banyak daripada jumlah RM114 juta itu sepenuhnya milik parti tersebut?

“Adakah Umno berani untuk meminta pihak berkuasa menyiasat dari mana duit tersebut datang,” katanya.

Malah, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga menegaskan Umno belum mengesahkan sama ada tuntutan hanya dibuat untuk wang berjumlah RM114 juta sahaja atau termasuk barang kemas serta jam tangan mewah dalam 35 beg dan 284 kotak beg tangan berjenama.

“Ia juga ujian untuk Umno yang mahu keluar dari apa yang didakwa sebagai kepompong kleptokratik dan memulakan episod baru sebagai sebuah parti yang bersih dan jujur,” katanya. -sh

0 comments

Post a Comment