May 26, 2018

Banduan Islam Dihidang Daging Babi Untuk Berbuka Di AS

LOS ANGELES – Seorang hakim persekutuan mengeluarkan perintah larangan menghalang pengawal penjara di Alaska menghidangkan daging babi kepada ban­duan beragama Islam semasa mereka berbuka puasa di bulan Ramadan, kata sekumpulan aktivis.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) memfailkan tuntutan undang-undang pada Selasa lalu dengan mendakwa Kompleks Penjara Anchorage telah melanggar peruntukan perlembagaan kerana melaksanakan ‘hukuman luar biasa dan kejam’.

CAIR berkata, Mahkamah Daerah Alaska Amerika Syarikat (AS) membenarkan permohonan arahan sementara itu yang berkuat kuasa serta-merta.

Perintah tersebut mengarahkan pengawal penjara membekalkan makanan kepada banduan Islam dengan berpandukan garis panduan kesihatan kerajaan.

“CAIR melaporkan tentang peningkatan diskriminasi yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap komuniti Islam AS dan penduduk minoriti lain sejak Donald Trump dipilih sebagai Presiden AS,” menurut organisasi berpangkalan di Washington itu dalam satu kenyataan.

Banduan Islam menyambut Ramadan dengan berpuasa tanpa mengambil makanan atau air selama hampir 18 jam di penjara Anchorage.

Mereka hanya diberikan makanan mengandungi 1,100 kalori pada setiap hari, demikian menurut aduan CAIR.

Jumlah itu kurang daripada kadar pengambilan harian 2,500 kalori yang disyorkan untuk lelaki.

Pakej makanan yang disediakan kepada banduan pula, kata CAIR, mengandungi daging babi.

Sehubungan itu, CAIR membuat tuntutan di mahkamah untuk memastikan supaya banduan ‘mendapat diet seimbang yang berkhasiat’ di samping perubahan polisi dan pampasan.

Bulan Ramadan bermula pada 16 Mei lalu di AS dan dijangka berakhir pada 15 Jun depan. -kosmo

0 comments

Post a Comment