Jun 27, 2018

Maradona Hampir Pengsan Rai Kemenangan Argentina

DIEGO Maradona terpaksa dipapah pengawal peribadinya apabila nyaris pitam ketika meraikan kejayaan Argentina mara ke peringkat kalah mati selepas menang tipis ke atas Nigeria, awal pagi Rabu.

Legenda bola sepak Argentina itu dilaporkan hampir terjatuh di ruang VIP dekat Stadium St Petersburg sehingga pasukan perubatan dipanggil untuk memeriksa keadaannya.

Maradona, 57, dilihat hampir terjatuh dari tempat duduknya sejurus meraikan gol jaringan Marcos Rojo pada minit ke-86.
Pasukan perubatan sedang memeriksa keadaan Maradona.

Dia hadir untuk menyaksikan pertembungan hidup mati Argentina pada temasya tersebut.

Sebelum insiden itu, Maradona dilihat ligat menari bersama kumpulan penyokong di ruang khas VIP.

Dia juga kelihatan begitu teruja ketika meraikan gol Lionel Messi dengan gaya pelik.

Argentina akan bertemu Perancis pada pusingan kalah mati selepas muncul naib juara kumpulan. -mstar

0 comments

Post a Comment