Sep 5, 2012

Sindiket Pengemis Kanak-kanak di Sabah

Sebuah sindiket dipercayai mengatur kanak-kanak tidak berdokumen untuk mengemis di jalan-jalan dikawasan bandaraya.

Kanak-kanak ini dipercayai menetap di Pulau Gaya, berhampiran bandaraya dan beberapa daripada mereka mendakwa datang daripada masyarakat Palau'h (Bajau/Gipsi Laut) di Pantai Timur.


Kanak-kanak ini seringkali dilihat mengemis pada waktu malam dan mereka menyasarkan kawasan-kawasan yang dikunjungi pelancong asing dan pemandu seperti Segama Water Front dan kompleks membeli-belah seperti Wisma Merdeka dan Centre Point.

Beroperasi dalam kumpulan antara lima hingga 10 orang, kanak-kanak ini akan mengekori pelancong, malah mengetuk tingkap kereta yang berhenti di persimpangan jalan. Adalah dipercayai mereka boleh mendapat sehingga RM50 satu malam.

Memandangkan rungutan awam yang semakin banyak mengenai perkembangan ini, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama dengan Pasukan Petugas Khas dan Polis Bandaraya menjalankan operasi bersepadu pada malam Isnin lepas untuk mencekup kanak-kanak ini.

Pegawai penguatkuasa kanan DBKK, Supt. Ernest Mojikon mengetuai 35 kakitangan penguatkuasa dari jam 7.30 malam hingga 10 malam.

"Kami menahan enam kanak-kanak termasuk dua budak perempuan berumur antara lima dan 11 tahun kerana mengemis dan menjual rokok seludup di jalanan.

Empat didapati mengemis dijalanan sementara dua lagi ditahan kerana menjual rokok. Seorang lelaki warga asing berumur 40-an yang tiba-tiba masuk kedalam bangunan DBKK untuk melihat apa yang terjadi telah ditahan kerana memiliki MyKad yang disyaki dicuri", kata beliau kepada pemberita selepas operasi berakhir pada 3 September.

Mojikon berkata beberapa daripada kanak-kanak itu boleh berbahasa Melayu sementara beberapa lagi hanya menggelengkan kepala bila ditegur.

"Kesemua kanak-kanak ini akan dihantar ke Pusat Perlindungan Kanak-kanak di Kimanis, Papar sementara warga asing tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut", katanya.

Beliau berkata operasi-operasi serupa akan dijalankan dari masa kesemasa untuk mengekang pengemis jalanan di bandaraya Kota Kinabalu. - HarianEkspres

0 comments

Post a Comment