Jul 14, 2018

Dong Zong Nafi UEC Jejas Bahasa Melayu

SHAH ALAM - Dakwaan sesetengah pihak bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke Universiti Awam (UA) akan menjejaskan perpaduan dan kedudukan bahasa kebangsaan adalah tidak benar.

Menurut kenyataan bersama Dong Zong Dan Jiao Zong menjelaskan bahawa dakwaan ini harus diperbetulkan supaya tidak memberi tafsiran yang salah kepada orang ramai.

Menurut kenyataan itu, mereka sememangnya menghormati kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi selama ini.

“Pada halnya, Bahasa Melayu bukan sahaja merupakan mata pelajaran wajib bagi semua pelajar UEC, bahkan semua Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) turut menubuhkan Kelab Bahasa Melayu untuk menggalakkan pembelajaran dan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar,” katanya kenyataan bersama Dong Zong bersama dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Di samping itu, jelas mereka pihaknya turut bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menganjurkan Pertandingan Forum Pelajar yang khas untuk penyertaan pelajar-pelajar UEC sejak tahun 90-an dengan tujuan memupuk rasa cinta akan bahasa Melayu.

“Selain itu, pelajar-pelajar UEC juga mengambil bahagian dalam pertandingan koir dan pertandingan esei anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

"Kesemua ini merupakan usaha kami yang tidak berhenti-henti untuk memperkasakan pembelajaran Bahasa Melayu di SMPC,” jelas mereka.

Sementara itu mengulas berkenaan dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa sukatan pelajaran UEC diambil dari Taiwan, mereka menyatakan secara jelas bahawa dakwaan ini adalah tidak benar.

“Pada halnya, sukatan pelajaran UEC mematuhi dan selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan, setiap mata pelajaran UEC ditulis mengikut standard kurikulum dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga merujuk kepada standard pendidikan peringkat menengah antarabangsa” kata mereka.

Justeru tegas mereka bahawa pengiktirafan UEC merupakan isu pendidikan, maka perkara ini haruslah ditinjau dari sudut pendidikan dan akademik, tetapi bukan mempolitikkan isu ini. -sinar online

0 comments

Post a Comment