Jul 14, 2018

Najib Punca Kenaikan Kos Hidup Di Malaysia - KPDNHEP

PULAU PINANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendakwa kenaikan kos hidup yang ditanggung rakyat ketika ini disebabkan pentadbiran kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepanjang sembilan tahun Najib memegang jawatan berkenaan, beliau telah meninggalkan kerosakan teruk kepada negara dan terpaksa diperbetulkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana keprihatinannya menyuarakan kesengsaraan yang dihadapi rakyat berhubung isu kos sara hidup.

“Saya hendak beritahu, Najib faktor yang sumbangkan peningkatan kos hidup bukan sahaja barangan dan makanan tetapi ada lima hingga enam perkara lain termasuk perumahan, pendidikan, utiliti dan kesihatan, terima kasih kerana pertama kali beliau tunjuk prihatin,” katanya kepada pemberita selepas melawat peniaga di Balik Pulau di sini, semalam.

Saifuddin Nasution yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib yang terkejut apabila kerajaan memaklumkan penurunan harga barang yang rendah selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diletakkan pada kadar sifar bermula 1 Jun lepas.

Menurut Najib, tindakan Kerajaan Pakatan Harapan menyatakan GST bukan punca kenaikan harga barang bercanggah dengan tuduhan yang mereka gunakan terhadap kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution meminta Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan hadir ke Dewan Rakyat pada minggu depan untuk sesi perbahasan.

“Sekiranya beliau hadir, saya dan barisan menteri boleh memberi jawapan munasabah kepadanya. Dahulu ketika jadi Perdana Menteri, Najib kerap ponteng sesi Parlimen,” ujarnya.

Berhubung kenyataan terdapat barangan yang turun harga yang dipersendakan netizen, Saifuddin Nasution meminta mereka menyemak harga barangan menerusi aplikasi Paparan Harga yang dibangunkan kementerian itu sejak tahun lepas.

“Netizen dipelawa layari aplikasi ini kerana boleh tahu paparan harga barang dan lokasi kedai, dengan cara ini kita boleh lihat data yang diberi kementerian,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, sepanjang tahun ini sahaja, terdapat 1,300 peniaga yang dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan manakala nilai rampasan barangan mencecah RM7.5 juta.

“Kementerian menerusi 2,300 anggota penguatkuasaan sentiasa turun padang dan ambil tindakan terhadap aduan pengguna,” katanya. -Utusan Online

0 comments

Post a Comment