Jul 18, 2018

Kerajaan Negeri Sabah Rampas 40,161 Kayu Balak

KOTA KINABALU - Sebanyak 40,161 kayu balak dirampas sejak aktiviti eksport kayu balak dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri pada Julai lalu sehingga kini.

Rampasan tersebut adalah melibatkan daerah Tongod sebanyak 9,300 kayu balak, Ranau (5,901), Sandakan (549) dan Kalabakan (25,221) dengan jumlah kerugian mencecah jutaan ringgit.

Shafie Apdal berkata, melalui rampasan itu kerajaan negeri turut mengesan beberapa syarikat terlibat yang akan diheret ke muka pengadilan.

"Kita telah merampas lebih 40,000 kayu balak melibatkan beberapa syarikat dan tindakan undang-undang akan menyusul.

"Kesemua kayu balak yang dirampas akan diserahkan kepada pihak berkuasa sebagai bahan bukti.

"Laporan dilakukan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Mohd. Shafie berkata, terdapat beberapa syarikat yang dikesan didaftar dalam Bursa Saham sama ada di dalam dan luar negara.

"Kita akan mengambil tindakan lanjut sehingga saham mereka terjejas," jelasnya.

Beliau yang enggan mengulas mengenai penglibatan ahli politik di dalam syarikat terlibat bagaimanapun memberitahu, kesemua syarikat terbabit didapati beroperasi di negeri ini dengan kelulusan kerajaan terdahulu.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu, kerajaan negeri bertindak melaksanakan arahan pengharaman eksport kayu balak berkuat kuasa serta-merta.

Pelaksanaan itu dilakukan bagi mengesan masalah ketirisan termasuk kegagalan membayar cukai pembalakan sehingga mendatangkan kerugian kepada kerajaan negeri. -kosmo

0 comments

Post a Comment