PETALING JAYA - Secara purata, seorang perokok di Malaysia membelanjakan hampir RM180 sebulan, demikian menurut kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2011.
Penemuan kajian yang melibatkan 4,250 responden dewasa berumur 15 tahun dan ke atas itu didedahkan pada Persidangan GATS Malaysia 2011 di sini hari ini.
"Secara purata, seorang perokok membelanjakan sebanyak RM178.80 sebulan hanya untuk membeli rokok yang dikilangkan," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hassan Abdul Rahman selepas merasmikan persidangan itu.
Beliau berkata kajian itu juga menunjukkan sebanyak 45.8 peratus perokok terfikir untuk berhenti disebabkan amaran kesihatan bergambar.
"Kesedaran itu timbul disebabkan 87.1 peratus perokok sedar tentang maklumat mengenai antimerokok di televiyen atau radio," katanya.
Dr Hassan berkata berdasarkan kajian itu, 92.2 peratus responden percaya merokok boleh menyebabkan penyakit serius manakala 85.8 peratus responden pula percaya menghidu asap rokok orang lain akan menyebabkan penyakit serius.
Beliau berkata kajian itu juga menunjukkan responden menyokong peningkatan cukai produk tembakau serta kesedaran mereka tentang larangan merokok di restoran.
"Sebanyak 70.6 peratus responden menyokong peningkatan cukai ke atas produk tembakau manakala 83.5 peratus responden pula percaya aktiviti merokok perlu dilarang di dalam restoran," katanya.
Kajian GATS 2011 itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Atlanta, AS.
Dr Hassan berkata hasil kajian GATS Malaysia 2011 akan menjadi sumber utama dalam menyediakan Pelan Tindakan Kawalan Tembakau Negara pada masa depan. -Bernama
0 comments
Post a Comment