Jul 17, 2018

Restoran Popular Saji Makanan Utara Diarah Tutup

PUTRAJAYA - Sebuah restoran popular yang menyajikan hidangan makanan asli dari utara tanah air diberi notis penutupan selama dua minggu oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) bermula hari ini.

Berdasarkan notis yang ditampal di premis terbabit di Lot 46 dan 48 kawasan Komersil Nadi, Presint 15, di sini, arahan penutupan itu berkuat kuasa jam 4.30 petang hari ini sehingga 31 Julai ini.

Menurut notis tersebut, arahan penutupan dikeluarkan bagi tempoh berkenaan berikutan premis tidak bersih dan disucikan, sehingga mungkin mendatangkan bahaya kepada kesihatan orang awam.

Notis terbabit ditandatangani oleh Penolong Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran Jabatan Perkhidmatan Bandar, Perbadanan Putrajaya, Azman Ahmad.

Sementara itu, PPj dalam satu kenyataan media, turut mengesahkan berhubung arahan penutupan premis makanan utara terbabit oleh pihaknya yang tular di media sosial.

Terdahulu, PPj melancarkan operasi bersepadu pemeriksaan premis makanan di sekitar Putrajaya yang diketuai oleh Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail bermula jam 2 petang hingga jam 5 petang hari ini.

Hasim berkata, sebanyak enam premis makanan diperiksa di bawah peruntukan Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2012 dan Akta Makanan 1983.

“Dalam operasi itu, satu premis makanan diberikan penggredan A dan empat premis lagi mendapat Gred B.

“Sebuah premis lagi diarahkan tutup di bawah Akta Makanan 1983 kerana didapati tidak menjaga kebersihan serta mematuhi arahan-arahan ditetapkan PPj,” katanya yang turut mengeluarkan enam kompaun serta lapan notis amaran dalam operasi tersebut.

Menurutnya, operasi yang melibatkan seramai 30 anggota itu dijalankan bagi memastikan premis-premis makanan di Putrajaya sentiasa berada pada tahap kebersihan yang tinggi.

Katanya, ia juga untuk memastikan tiada berlaku pelanggaran syarat-syarat lain seperti tambahan struktur atau ubah suai pada premis, halangan-halangan di kaki lima, pembuangan sisa-sisa makanan ke dalam sistem perlimbahan dan perparitan termasuk tindakan ke atas pengusaha premis makanan yang tidak memiliki atau memperbaharui lesen premis perniagaan atau melanggar syarat yang diberikan sebelum ini.

Operasi petang tadi melibatkan pelbagai bahagian dari PPj iaitu Bahagian Kesihatan Persekitaran, Bahagian Penguatkuasa, Bahagian Komersial, Pembangunan Perniagaan & Pelesenan, Bahagian Alam Sekitar, Tasik & Wetland, Bahagian Senibina & Inspektorat Bangunan dan Jabatan Undang-undang.

Dalam pada itu, Hasim berkata, berdasarkan statistik sehingga Jun lalu, sebanyak 350 premis makanan dilesenkan di Putrajaya.

“Daripada jumlah tersebut, 88 premis diberi penggredan A, 94 premis diberi penggredan B dan sebanyak 178 premis sedang dalam proses penggredan.

“Bagi tahun 2018 sahaja PPj mengeluarkan sebanyak 58 kompaun, 23 notis amaran dan arahan penutupan ke atas lapan buah premis,” katanya. -sinar online

0 comments

Post a Comment