BAPA Nur Dhabitah Sabri mahu Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menyiasat serta mengambil tindakan ke atas dalang yang merakam serta menyebarkan video aksi ‘melampau’ penerjun negara sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Sabri Hashim berkata, walaupun beliau tidak menyokong kelakuan sekumpulan penerjun yang berpesta sambil minum minuman keras namun tindakan merakam serta menyebarkan video berkenaan bukan sahaja mencemarkan nama atlet malah ASUM dan Malaysia.
Malah, Sabri meminta ASUM menyiasat kemungkinan wujud usaha pihak tertentu untuk mensabotaj skuad terjun negara dan penerjun tertentu.
“Apa yang dilakukan oleh penerjun yang terbabit dalam video itu memang salah kerana ia melanggar etika dan disiplin. Mereka pun sudah mengaku kesilapan serta meminta maaf.
“Tapi, rakaman video itu tidak sepatutnya didedahkan kepada umum seperti yang berlaku baru-baru ini.
"Soalnya, apa tujuan individu itu merakam kemudian menyebarkan melalui media sosial?
Adakah ‘ada udang di sebalik batu’?
“Saya tidak fikir individu berkenaan tidak tahu implikasi di sebalik tindakannya itu.
Apa yang saya bimbangkan jika ada unsur sabotaj ke atas skuad terjun negara atau ke atas mana-mana penerjun yang dijadikan sasaran.
“Saya tidak mahu menuduh sesiapa kerana tiada bukti namun ASUM patut menyiasat siapakah dalang di sebalik isu ini kerana ia turut membabitkan maruah badan sukan itu serta negara.
“ASUM tidak boleh melepaskan dalang itu begitu sahaja sebaliknya turut perlu dikenakan tindakan disiplin di atas tindakannya,” tegas Sabri.
Rabu lalu, media melaporkan skuad terjun terpalit kontroversi apabila video yang tular di internet memaparkan penerjun negara bersuka-ria, berfoya-foya sambil minum minuman keras dan kejadian dipercayai berlaku di Guangzhou, China, Februari lalu.
Susulan itu tujuh atlet yang dirakam dalam video itu termasuk Dhabitah tampil memohon maaf secara terbuka melalui satu sidang media.
Bagaimanapun Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen, kelmarin tampil menyatakan Dhabitah dan seorang lagi penerjun, Hanis Nazirul Jaya Surya tidak mengambil minuman keras. – myMetro Online
0 comments
Post a Comment