Jun 15, 2019

Pemeriksaan Rumah Keluarga Haziq Abdullah Ikut SOP

KUALA LUMPUR - Pemeriksaan yang dijalankan ke atas rumah keluarga individu yang mendakwa dirinya dalam video seks bersama seorang lelaki mirip menteri Kabinet, Haziq Abdullah Abdul Aziz di Kuching, Sarawak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) polis yang ditetapkan.

Memetik laporan portal Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, semasa pemeriksaan dijalankan ke atas rumah keluarga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong itu, tiada elemen salah guna kuasa semasa tindakan diambil oleh polis.

Menurut laporan itu, pihaknya menerima arahan dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman pada pukul 3.39 petang Khamis lalu untuk mengesan Haziq Abdullah dan merakam percakapan beliau serta keluarganya.

Susulan itu, jelas laporan tersebut, sepasukan polis terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga anggota terus ke rumah keluarga Haziq Abdullah di Petra Jaya, Kuching pada pukul 5.20 petang hari sama.

“Selepas memanggil beberapa minit agar membuka pintu pagar bagi membenarkan polis masuk dan tiada maklum balas daripada penghuni rumah, polis mengambil keputusan masuk melalui pintu pagar yang tidak berkunci dan terus berjalan kira-kira 40 meter ke pintu hadapan rumah.

“Pegawai kanan yang mengetuai pemeriksaan telah memperkenalkan diri sebagai polis dengan menunjukkan kad kuasa polis serta memaklumkan tujuan kehadiran.

“Kesemua mereka (polis) kemudian dijemput masuk oleh bapa Haziq Abdullah (Abdul Aziz) serta kakak iparnya (kakak ibu Haziq Abdullah) dan mereka memberikan kerjasama yang baik termasuk membenarkan polis memeriksa rumah untuk mengesan Haziq,” jelas laporan itu.

Semalam, The Star Online melaporkan, Haziq Abdullah memberitahu, bapanya telah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Kuching selepas rumah keluarga mereka ‘dipecah masuk’ lima lelaki petang kelmarin.

Dalam laporan polis tersebut, bapanya memberitahu, dia berasa curiga terhadap tingkah laku kumpulan tersebut dan bersetuju selepas mengarahkannya untuk menandatangani satu borang tanpa pemeriksaan lanjut.

Dalam pada itu, menurut laporan itu, polis turut merakam percakapan bapa Haziq Abdullah di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Tambah laporan itu, siasatan ke atas kes Haziq Abdullah adalah kes yang boleh ditangkap tanpa waran dan disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

“Untuk makluman, selain disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 504 serta 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE

0 comments

Post a Comment