Jun 15, 2019

Sabah Dan Indonesia Bincang Peruntukan MoU Biak Badak Sumatera

KOTA KINABALU: Satu mesyuarat melibatkan empat pihak bersidang bagi membincangkan pelaksanaan peruntukan dalam Rangka Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pemeliharaan Badak Sumbu Sumatera di Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Selasa lalu.

Mereka adalah Kementerian itu, Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Borneo Rhino Alliance (Bora) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia – Malaysia (WWF-Malaysia).

Menteri Datuk Christina Liew mempengerusikan mesyuarat itu yang turut membincangkan tentang Susunan Pelaksanaan (AI) antara Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Republik Indonesia dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli Malaysia berhubung Program Kerjasama mengenai Penggunaan Teknologi Bantuan Pembiakan Badak Sumatra (ART-SR).

Ia turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap Kementerian William Baya, Pengarah Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga, Pemangku Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman dan Pengurus Pemasaran Bobby Alex.

Mengucapkan terima kasih kepada Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Bapak Krishna Djelani atas nasihat dan cadangan beliau, Liew berkata: “Saya gembira mendapati kedua-dua Malaysia dan Indonesia sama-sama komited terhadap usaha memulihara hidupan liar bagi mengelakkan kepupusan Badak Sumbu Sumatera yang juga salah satu spesies paling terancam di dunia.

Beliau diiringi oleh Konsul M. Muhsinin Dolisada (Bahagian Konsul) dan Cahyono Rustam (Bahagian Kebudayaan Sosial).

Sehubungan itu, Liew, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata beliau akan mengetuai delegasi Sabah ke Indonesia bulan depan (Julai) bagi bertemu pihak berkuasa Indonesia mengenai MoU antara Kerajaan Republik Indonesia dan Kerajaan Malaysia mengenai Pemuliharaan Badak Sumbu Sumatera.

“Kejelasan terma dan syarat yang termaktub adalah penting. Kami melakukan beberapa pengubahsuaian mengenai Perkara dan Klausa dalam MoU bagi memastikan tiada adalah klausa terbuka yang boleh menimbulkan pertikaian pada masa depan dalam melaksanakan peruntukan terbabit.

“Kita juga akan membincangkan mengenai pemilikan bersama badak Sumatera yang lahir atau dihasilkan melalui pembiakan dalam kurungan di Indonesia,” kata Menteri terbabit, sambil menambah MoU itu akan ditandatangani jika semuanya berjalan lancar seperti dirancang.

IIman, Badak Sumbu Sumatera betina satu-satunya masih hidup di Malaysia, yang dijaga di Rizab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu, dilaporkan sedang sakit.

Pada mesyuarat itu, Pengerusi Eksekutif Bora, Prof Dr Abdul Hamid Ahmad, Pengarah Eksekutif Dr Junaidi @ John Payne dan Ketua Penyelaras Veterinar dan Lapangan Dr Zainal Zahari Zainuddin memberikan pandangan berkaitan pengumpulan dan peyimpanan semen, pengambilan ovum daripada badak sumbu betina terakhir Malaysia iaitu Iman, pengkulturan sel kulit, penggunaan kaedah kesuburan in-vitro (IVF), penyimpanan embrio dan pemindahan embrio kepada ibu tumpang badak.

Dalam perkembangan sama, Menteri itu mengalu-alukan kesediaan WWF-Malaysia bagi memberikan sokongan kewangan kepada program pembiakan badak dalam rangka kerja MoU itu.

“Selain daripada sumbangan, kami akan melaksanakan mekanisme untuk mendapatkan dana,” kata Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia, Dr Henry Chan dari Ibu Pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor.

Turut hadir adalah Ketua Pemuliharaan WWF-Malaysia, Sabah, Dr Robecca Jumin. -DailyExpress

0 comments

Post a Comment