Jun 1, 2018

Pantai Barat Sabah Dilanda Banjir

RIBUAN penduduk terjejas akibat banjir yang melanda Penampang malam tadi, berikutan limpahan Sungai Moyog, disebabkan hujan berterusan, sejak petang semalam.

Kawasan terjejas membabitkan sekurang-kurangnya 50 kampung dengan paras air masih tinggi berdasarkan keadaan jalan raya yang hanya boleh dilalui kenderaan berat setakat jam 8 pagi ini.

Berikutan situasi itu, Jawatankuasa Bencana Alam Daerah membuka bilik gerakan bencana malam tadi bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Di Donggongon, pekan utama daerah ini, ratusan pemandu terpaksa meninggalkan kenderaan mereka di tepi jalan atau tidur dalam kereta sementara menunggu banjir surut.

Pemandu dari Inobon, Julian Din, 38, berkata, dia tidak mahu mengambil risiko memandu kenderaannya melalui banjir yang mencapai paras pinggang di bulatan utama Donggongon.

"Lebih baik saya tunggu. Saya di sini sejak jam 11 malam tadi. Saya nampak beberapa kenderaan terperangkap di bulatan," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pemandu, Julie Tan, 20-an, berkata, banyak yang terperangkap dekat Kampung Kivatu dan Kasigui, dua lokasi terletak kira-kira tiga kilometer dari bulatan pekan Donggongon.

"Kami terperangkap di sini sejak jam 8 malam tadi hingga sekarang," katanya.

Dia bersama dua rakan dari Tambunan berada di daerah ini sempena cuti Kaamatan sejak dua hari lalu.

Beberapa kawasan di pantai barat termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Putatan dan Kota Belud turut terjejas akibat banjir selepas hujan lebat malam tadi.

0 comments

Post a Comment