Apr 1, 2016

UMS Universiti Pertama Lancar Tahun Melawat UMS

Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menjadi universiti pertama di Malaysia dan di rantau ini melancarkan Tahun Melawat UMS 2016/ 2017 dalam usaha menarik lebih ramai pelancong mengunjungi universiti itu.

Tahun Melawat UMS

Naib Canselornya Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, Tahun Melawat UMS dijangka akan dilancarkan pada April ini.

Beliau berkata, UMS yang telah melancarkan konsep EkoPelancongan pada 2014 dan “Malaysia 101 Edutourism Packages” pada 15 Ogos 2015 terus mengambil peranan proaktif untuk melancarkan EcoCampus Visitor Information Centre (EVIC).

“Pusat Informasi Pelawat EcoCampus itu akan dilancarkan bersama-sama dengan pakej Eko Pelancongan UMS pada April 2016 ini, sekaligus menjadikan UMS, universiti pertama melancarkan inisiatif seumpama ini di Malaysia dan di rantau ini,” katanya ketika menyampaikan amanat, di UMS, di sini, kelmarin.

Mohd Harun berkata, pusat EVIC akan menjadi ruang maklumat tarikan pelancong dan pakej-pakej pelancongan di UMS.

“Antara komponen penting yang akan ditempatkan di pusat ini adalah pusat galeri dan penerangan pelancongan, pembelian tiket berpusat dan pakej pelancongan serta kedai cenderahati.

“Untuk menjadikan kawasan ini lebih menarik, selain landskap yang unik, eco-cafe juga akan disediakan bagi memberi kemudahan kepada pengunjung. Pada masa akan datang, kawasan EVIC akan diluaskan lagi,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, terdapat lima pakej pelancongan yang ditawarkan merangkumi pakej harian dan pakej bermalam berasaskan Green Tourism dan Nature Tourism iaitu, Pakej Lawatan Galeri & Muzium (Gallery & Museum Tour),

Pakej Penghayatan Alam Semulajadi (Nature Delight Tour), Pakej Warisan Arkitektual (Architecture Heritage Tour), Pakej Penghayatan Senja (Sunset Tour) dan Kem Pendidikan Alam Semulajadi (Nature Education Camp) dengan kadar bayaran yang berpatutan.

Mohd Harun berkata, selain mempromosikan pakej eko pelancongan kampus kepada para pengunjung, EVIC juga berperanan sebagai pusat penjualan tiket secara berpusat sekaligus memudahkan pembelian tiket ke lokasi yang ingin dilawati.

Di samping itu katanya, kemudahan buggy car yang menggunakan tenaga elektrik juga akan disediakan bagi pelancong yang ingin menikmati panorama pemandangan sekitar kampus, sekaligus membantu pengurangan carbon footprint.

Beliau berkata, selaras hasrat universiti mencapai salah satu daripada elemen utama EcoCampus dalam melestarikan pengurusan kitar semula bahan buangan, UMS di bawah penyelarasan Pusat Pengurusan EcoCampus sedang dalam proses membangunkan Pusat Kitar Semula melalui projek pembiayaan CSR oleh Binapuri Sdn Bhd sebanyak RM1,000,000.

“Projek ini dijangka beroperasi pada Ogos 2016 di Fakulti Kejuruteraan. Komponen utama Pusat Kitar Semula adalah pengurusan buangan seperti kertas, botol plastik dan tin yang dihasilkan di UMS.

“Bahan-bahan buangan ini seterusnya akan dijual dan menjadi salah satu sumber penjanaan UMS pada masa akan datang.

Dalam usaha menyokong kelestarian alam sekitar, Pusat Kitar Semula akan menitikberatkan implementasi penggunaan teknologi hijau seperti penggunaan sistem tenaga solar dan penuaian air hujan.

“Pusat ini juga akan menempatkan ruang seminar dan bengkel untuk tujuan aktiviti pengembangan kesedaran kelestarian alam sekitar kepada pelajar, kakitangan dan komuniti luar,” katanya.

Mohd Harun berkata, pada tahun lepas UMS menyasarkan untuk berada dalam ‘ranking top 200’ peringkat dunia bagi penilaian UI Greemetric World University Ranking dan berjaya melepasi sasaran tersebut sekaligus melonjak 72 anak tangga untuk tersenarai pada kedudukan 173 bagi tahun 2015 berbanding di kedudukan 245 pada tahun 2014.

“Bagi kedudukan ranking di rantau Asia, UMS di kedudukan ke-66; dan ke-7 bagi kedudukan dalam kalangan semua Institut Pengajian Tinggi di Malaysia, termasuk institusi awam dan swasta.

“Peningkatan ranking yang mendadak adalah hasil persiapan dan persediaan semua pihak termasuk menerusi usaha pewujudan lapan buah jawatankuasa di bawah seliaan Pusat Pengurusan EcoCampus,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan itu akan ditingkatkan lagi pada tahun ini dengan memfokuskan kriteria-kriteria yang telah dikenalpasti, termasuk pembangunan infrastruktur hijau, tenaga dan perubahan iklim, pengurusan bahan buangan, pengunaan air, pengurusan pengangkutan dan pendidikan.

“Sejak pelancaran Pelan Tindakan EcoCampus pada Februari 2013, salah satu hala tuju pelan tindakan tersebut adalah mengurangkan carbon footprint. Selepas 3 tahun dilaksanakan, hasilnya UMS berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Dari segi penggunaan elektrik sepanjang 3 tahun lepas didapati semakin menurun terutama dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” katanya.

Mohd Harun berkata, penggunaan tenaga elektrik di UMS pada tahun 2015 sebanyak 34,978,990 kWh, iaitu pengurangan sebanyak 23 peratus bersamaan dengan 91,010 kWh berbanding penggunaan pada 2014 sebanyak 35,070,000 kWh yang telah menjimatkan perbelanjaan elektrik sejumlah RM2,126,912.

Dari segi penggunaan air, beliau berkata sepanjang tiga tahun lepas ia semakin menurun. Bagaimanapun dengan kenaikan tarif air dari RM0.90 ke RM1.20 berkuatkuasa 1 Januari 2015, menyebabkan UMS terpaksa menampung lebihan perbelanjaan sebanyak RM261,940.60 bagi tahun 2015. -New Sabah Times

0 comments

Post a Comment