Feb 20, 2017

RUU 355: 'Kalimah Yang Benar Tapi Dengan Maksud Yang Batil'

Telah berlaku perbincangan yang agak panas mengenai pindaan Rang Undang-Undang 355 yang merupakan satu usul yang dibawa oleh Presiden PAS YB DS Abd Hadi Awang.

Ruu355

Cadangan pindaan ini jika berjaya, akan dapat meningkat nilai dan jumlah hukuman di mahkamah syariah kepada 100 rotan, 30 tahun penjara dan RM100k denda.

Berlaku pandangan pro dan kontra mengenai usul itu. Setiap pihak melihat daripada sudut yang berbagai. Itu adalah perkara biasa terutama dalam sistem demokrasi.

Di sana ada niat yang baik, dan niat yang sebaliknya dalam perbezaan pendapat itu. Berbeza pendapat atas niat yang baik itu tidak ganjil. Para sahabat sendiri berbeza pendapat.

Ini termasuk isu ketika Khalifah Umar bin al-Khattab enggan membahagikan tanah-tanah rampasan perang di Iraq dan Mesir kepada tentera. Ini berbeza dengan amalan Rasulullah s.a.w. pada hayat baginda.

Majoriti para sahabat tidak bersetuju dengan pandangan Umar. Mereka berhujah dengan Surah al-Anfal (Surah Harta Rampasan Perang) dan amalan Nabi s.a.w. sebelum ini.

Sebaliknya, Umar melihat dari sudut maslahah masa depan dan persepsi generasi akan datang, iaitu anak-anak penduduk tempatan datang terhadap Islam.

Hal ini disebut dalam pelbagai kitab sirah dan dibincang dalam pelbagai kitab Usul al-Fiqh. Yang Pelik Ertinya, tidak pelik untuk berbeza pendapat sekalipun dengan tokoh sehebat Umar.

Tidak pelik untuk berbeza sekalipun dengan pihak yang berhujah menggunakan dalil al-Quran dan hadis, selagi mana hal itu boleh dilihat dari sisi pandangan ijtihad yang lain.

Apa yang pelik ialah jika ada pihak yang setiap kali berbeza pendapat dengan mereka, mereka kafirkan pihak yang berbeza, mereka tuduh orang lain musuh Islam, anti-Islam, ditanam jenazahnya di kubur orang kafir, membenci hukum Allah, menentang ulama, tali barut musuh-musuh Islam dan seumpamanya.

Peliknya, hal ini telah berakar umbi sejak sekian lama dalam aliran politik berkenaan. Maka, maki hamun menjadi amalan kumpulan ini alasan mempertahankan Islam dan menyerang musuh Islam.

Saya belum pun memberikan pandangan detil tentang RUU 355, sekadar menyatakan bahawa cadangan itu boleh dikritik ataupun dibantah dari sudut masing-masing.

Seperti tradisi biasa, mereka mengikuti pandangan itu dengan cercaan dan maki hamun. Ini adalah tradisi warisan yang wajar mereka ubah jika mereka ingin melangkah ke hadapan ataupun hidup sebagai insan yang bertamadun.

Dapatkah kita bayang jika kumpulan seperti ini menguasai politik negara? Apakah akan terjadi kepada rakyat yang berbeza pandangan dengan mereka?

Jika perbezaan pendapat itu digelar anti-Islam, maka setiap yang anti-Islam tentunya menjadi murtad jika muslim, dan menjadi kafir-harbi jika non-muslim.

Jika undang-undang murtad dibuat dalam keadaan seperti itu, pasti ramai pengkritik politik akan didakwa atas enakmen itu. Sementara yang kafir-harbi layak untuk diperangi.

Gambaran Sebelum Pro-RUU 355 Apabila kita sebut cadangan pindaan RUU 355, kita hendaklah tahu bahawa ia satu usul yang dibawa oleh sebuah parti politik.

Usul itu telah dimainkan secara politik. Parti politik berkenaan juga selama ini memperkatakan isu hudud sejak sekian lama terutama menjelang pilihanraya.

Hasil dari isu hudud yang pernah dimainkan sejak dahulu pelbagai peristiwa permusuhan antara umat Islam telah berlaku.

Berlakunya kafir-mengkafir sejak sekian lama, dua imam, bercerai suami-isteri, enggan makan sembelihan sesama muslim, memutuskan silaturrahim antara keluarga dan tumpah darah sesama umat.

Dengan tidak dinafikan bahawa tindakan dan sikap parti lawan mereka juga ada yang tidak sewajarnya.

Demikian juga pendekatan aliran politik berkenaan, bukan sahaja tajam kepada musuh politik tradisi mereka, bahkan kepada rakan-rakan mereka yang keluar parti.

Istilah keluar jamaah cabut Islam bukan sesuatu yang asing. Bahkan sesiapa yang berbeza dengan mereka sekalipun dari kalangan yang bukan musuh tradisi mereka, juga menerima nasib yang tidak kurang buruknya seperti anti-ulama, anti-perjuangan Islam, musuh Islam, tali barut musuh Islam dan seumpamanya.

Mengapa hal ini dibangkitkan? Sebabnya, hal-hal ini kadang-kala boleh mempengaruhi sikap orang lain terhadap usul yang dibawa itu. Kadang-kala bukan kerana usul itu semata, sebaliknya apa yang ada berkait dengan pencadang usul tersebut.

Penyokong Usul

Di sana ada pihak yang menyokong Usul Pindaan RUU 355 ini. Sokongan itu mungkin dibina atas beberapa perkara.

Antaranya;

1. Ada pihak yang menyokong kerana usul meningkat jumlah dan nilai hukuman kepada 100 rotan, 30 tahun penjara dan 100k denda membolehkan sebahagian hukum hudud dilaksanakan. Iaitu 100 rotan untuk zina, 80 rotan qazaf dan 40 rotan untuk peminum arak.

Maka, menyokong usul ini bererti membolehkan hukum hudud yang diperjuangkan selama ini dilaksanakan. Ini bagi mereka adalah tanggungjawab agama.

Di satu sudut, seakan kumpulan ini menerima pandangan yang selama ini ditolak oleh mereka iaitu menyamakan hukuman zina yang belum berkahwin dan yang sudah berkahwin (muhsan). Pegangan umum mereka selama ini ialah penzina yang sudah berkahwin direjam sampai mati.

2. Ada pihak yang menyokong kerana ingin memperlihatkan kesatuan politik parti-parti melayu muslim dan umat Islam secara umumnya.

3. Ada yang menyokong kerana merasakan hukuman sedia ada untuk kesalahan jenayah (yang dikatakan) berkaitan syariat itu terlalu rendah. Gejala maksiat yang berleluasa memerlukan hukuman yang lebih tinggi.

4. Ada yang menyokong kerana ingin hukum hudud yang sepenuhnya dilaksanakan termasuk potong tangan, rejam penzina dan hukuman riddah iaitu membunuh orang yang murtad. Difahamkan itulah cadangan asal parti berkenaan, namun pihak peguam negara telah meletakkan had kepada 100 rotan, 100k dan 30 tahun penjara. Hukuman mati, rejam sampai mati dan potong tangan belum diberikan ruang.

5. Ada pihak yang menyokong kerana ruang ini boleh digunakan untuk mengekang aliran yang berbeza dengan penguasa agama tempatan. Ini seperti aliran kaum muda, salafi, wahabi, fatwa yang tidak mengikut mufti negeri, tarekat yang berbeza, syiah, Islam liberal dan seumpamanya. Pindaan ini akan membolehkan kesalahan ini ditingkatkan hukuman penjara, ataupun denda yang lebih tinggi.

6. Ada yang menyokong untuk menaik taraf kedudukan hakim-hakim di mahkamah syariah supaya setaraf dengan mahkamah sivil khususnya dari segi grade pergajian dan seumpamanya.

7. Ada yang menyokong kerana itu keputusan partinya dan untuk memenangi hati pengundi menjelang pilihanraya umum yang akan datang.

Pembangkang Usul 355

Di sana ada pihak yang tidak menyokong usul ini atas alasan yang pelbagai. Ada yang tidak menyokong sepenuhnya, ada yang menyokong sebahagiannya dan ada yang menentang sepenuhnya.

Ada beberapa alasan golongan ini. Tidak bersetuju itu juga dilihat dari sisi yang berbeza antara mereka, antaranya;

1. Mereka bersetuju dengan peningkatan 100 rotan jika hanya untuk hukuman zina, qazaf dan minum arak. Namun, untuk hal-hal yang lain mereka tidak bersetuju. Ini kerana kesalahan di bawah Mahkamah Syariah bukan sahaja zina, qazaf dan arak sahaja.

Di sana, ada lagi perkara yang diletakkan di bawah kesalahan ataupun jenayah di bawah Mahkamah Syariah, yang pihak lain mempunyai pandangan yang berbeza.

Ini termasuk; poligami tanpa izin, mengajar tanpa tauliah, memberikan pendapat yang berbeza dengan fatwa mufti, mengajar pendapat yang berbeza dengan pegangan pihak berkuasa agama negeri, berkahwin luar negara tanpa izin, membayar zakat kepada pihak lain, mengutip zakat tanpa keizinan dan pelbagai lagi yang boleh dimasukkan oleh pihak berkuasa agama sebagai jenayah syariah mengikut prosedur perundangan setiap negeri.

Jika peningkatan hukuman kepada 30 tahun ataupun denda 100k ataupun sebatan 100 rotan digunakan untuk hal-hal seperti ini akan menimbulkan pelbagai polemik.

Ia juga ada ruang kemungkinan akan memandulkan perkembangan intelektual dan hak kepelbagai pendapat dalam negara demokrasi.

Maka, ruang Malaysia menjadi negara mullah itu akan lebih tinggi. Ini seperti yang berlaku di beberapa negara yang membatasi banyak hak atas nama agama. Maka, sokongan sepenuh pindaan RUU 355 akan mempunyai risikonya yang tersendiri.

2. Ada yang tidak menyokong kerana suasana hari ini yang dipenuhi dengan Islamphobia. Hal-hal ini jika dibahaskan hanya memberikan persepsi negative terhadap umat Islam. Banyak lagi perkara-perkara lain yang wajar didahulukan dalam pembangunan umat Islam dan usaha memberikan imej yang positive untuk umat Islam.

3. Ada yang melihat ini hanya permainan politik musim pilihanraya. Daripada cara isu itu dibawa ke parlimen, cara ia ditangguhkan, tuduh-menuduh atas sebab perbezaan pandangan parti dan segalanya, bagi mereka hanya memperlihatkan agenda politik semata. Mereka melihat seperti kata-kata Ali bin Abi Talib kepada Khawarij yang sering mengkafirkan orang kerana isu ‘hukum Allah’ :

“Kalimah yang benar tapi dengan maksud yang batil”.

Ini kelihatan seperti buruk sangka. Namun, buruk sangka antara parti-parti politik termasuk yang berjenama Islam bukanlah perkara asing.

4. Ada yang melihat di sudut kestabilan negara yang membabitkan keselarasan undang-undang syariah dan sivil. Mereka merasa ini akan menjadikan keadaan pincang dan polemik antara rakyat atas perbezaan ini akan bertambah runcing.

5. Ada yang enggan menyokong disebabkan isu yang membabitkan pembawa usul ataupun kumpulan politik berkenaan dalam pelbagai perkara. Isu menyokong Iran, isu tuduh menuduh atas nama agama seperti kafir, anti-Islam dan beberapa pendekatan yang lain. Sikap ini mungkin kurang objektif kerana melihat kepada pembawa usul tapi bukan kepada usul. Sepatutnya kepada usul yang dibawa. Namun dalam politik kepartian hal ini juga tidak pelik. Betapa banyak parti yang enggan berkerjasama dalam hal yang baik hanya kerana melihat kepada siapa yang mencadangkannya.

6. Ada yang memang bersikap kurang senang terhadap apa sahaja cadangan berkaitan Islam. Mereka ini fobia dengan perkataan ‘Islam, syariah dan seumpamanya. Lalu tanpa berfikir panjang, mereka menentang hanya kerana ia berbunyi ‘Islam’. Golongan seperti ini memang terperangkap dalam islamophobia. Banyak faktor menjadikan mereka begitu.

Kesimpulan Pihak yang menyokong dan menentang mempunyai alasan ijtihad yang berbeza. Sebahagian alasan yang meyokong itu boleh diterima. Sebahagian alasan yang tidak menyokong juga boleh diterima dan ia tidak menunjukkan anti-Islam ataupun sebaliknya.

Menjadikan setiap yang berbeza pendapat dalam hal seperti ini sebagai musuh Islam, ataupun anti-hukum Allah adalah sikap khawarij yang sejak dahulu sering mengkafir dan menyesatkan sesama muslim.

Saya pada asas menyokong pindaan peningkatan kadar hukuman sehingga 100 rotan jika ia hanya untuk digunakan pakai bagi kesalahan jenayah dalam perkara benar-benar jelas iaitu seperti zina, qazaf dan arak.

Adapun untuk peningkatan kadar dan nilai hukuman yang boleh membawa kepada dihukum hal-hal lain yang bersifat pentadbiran dan ijtihad seperti poligami tanpa izin, mengajar tanpa tauliah, pandangan berbeza dengan fatwa negeri atau apa sahaja yang yang boleh ditambah oleh pihak berkuasa agama pada masa hadapan, saya menangguhkan sokongan dalam hal itu.

Ia perlu diteliti dan dibahaskan dengan mendalam kesan terhadap hak-hak rakyat dalam negara ini.

Terakhirnya, saya tidak dapat menerima hal ini dipolitikkan dan sikap mudah mengkafirkan ataupun melebel seperti anti-Islam dll ataupun memaki hamun orang lain hanya kerana perbezaan pendapat dalam hal ini.

Sumber: Dr. Maza

0 comments

Post a Comment