Jul 4, 2018

China Mobile Dilarang Masuk Pasaran AS

WASHINGTON – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menolak permohonan tujuh tahun daripada pembekal perkhidmatan te­lekomunikasi China, China Mobile untuk memasuki pasaran AS.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan perdagangan antara dua kuasa ekonomi dunia itu makin meruncing.

Timbalan Setiausaha Jabatan Perdagangan AS, David Redl berkata, pihaknya gagal menyelesaikan ‘isu keselamatan negara’ selepas mengadakan rundingan dengan gergasi telekomunikasi China itu.

Pentadbiran Telekomunikasi dan Maklumat Nasional yang merupakan unit di bawah Jabatan Perdagangan turut mencadangkan supaya permohonan China Mobile untuk menawarkan perkhidmatan suara antara AS dan negara lain ditolak.

Langkah itu dibuat beberapa hari sebelum White House dijadualkan melaksanakan tarif tinggi bernilai berbilion-bilion dolar ke atas import China, langkah yang bakal mengundang tindakan balas Beijing.

Ditanya mengenai langkah Washington itu pada taklimat media berkala, Jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang berkata, AS tidak sepatutnya menekan perniagaan China dengan cara tersebut.

“Kami menggesa pihak berkenaan di AS supaya mengubah corak pemikiran era Perang Dingin,” katanya sambil memberi amaran, Beijing bersedia sepenuhnya jika AS mengotakan ancaman tarifnya.

Pentadbiran Presiden Donald Trump turut bertindak menghukum syarikat telekomunikasi China, ZTE dengan melarang firma-firma AS menjual komponen perisian dan perkakasan kepada ZTE selama tujuh tahun.

Larangan itu susulan kenyataan palsu ZTE berhubung jualan haram barangannya ke Iran dan Korea Utara.

ZTE mengaku bersalah berhubung dakwaan tersebut pada Mei 2017 dan dikenakan denda sebanyak AS$1.2 bilion (RM4.8 bilion). –AFP

0 comments

Post a Comment