PRISTINA, Kosovo – Kosovo dan Albania mengutip wang bagi membayar denda Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap pemain Switzerland, Granit Xhaka, Xherdan Shaqiri dan Stephan Lichtsteiner kerana meraikan jaringan gol dengan membuat simbol helang berkembar dalam perlawanan Piala Dunia menentang Serbia.
Xhaka dan Shaqiri berasal dari Kosovo, bekas wilayah Serbia yang didiami majoriti etnik Albania.
Beribu-ribu etnik itu dibunuh semasa konflik antara tentera Serb dan gerila Albania pada 1998-1999.
Simbol helang berkembar mewakili bendera Albania dan dianggap simbol penentangan di Kosovo.
Wilayah itu mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 2008 dalam langkah yang tidak diiktiraf oleh Serbia.
Aksi tiga pemain berkenaan dalam perlawanan tersebut yang berakhir dengan kemenangan 2-1 kepada Switzerland di Kaliningrad Jumaat lepas membangkitkan kemarahan Serbia.
FIFA yang melarang simbol politik di stadium bola sepak, bertindak mendenda Xhaka dan Shaqiri masing-masing sebanyak AS$10,000 (RM40,287), manakala Lichtsteiner dikenakan denda AS$5,000 (RM20,143).
Perdana Menteri Albania, Edi Rama membuka sebuah akaun bank kelmarin untuk membolehkan warga Albania membantu membayar denda terhadap Xhaka dan Shaqiri yang beliau anggap sebagai ‘mengarut’.
Hampir AS$23,000 (RM92,661) telah dikutip kira-kira 24 jam selepas dana online itu dilancarkan di Kosovo.
Menteri Perdagangan dan Industri Kosovo, Bajram Hasani pula mendermakan semua gaji bulanannya berjumlah AS$1,744 (RM7,035) bagi tujuan itu. –AFP
0 comments
Post a Comment