Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) menguasai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 apabila membolot sembilan anugerah pada majlis berkenaan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka.
Pemain sayap JDT, Muhammad Safawi Rasid yang membantu skuad Harimau Selatan meraih kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut sejak 2014, melengkapkan musim ini dengan dinobatkan selaku pemain paling bernilai (MVP), selain turut menggondol dua anugerah lain - pemain muda harapan dan pemain tengah terbaik.
JDT turut memenangi enam anugerah lain merangkumi penjaga gol terbaik (Farizal Marlias), pemain ASEAN terbaik (Hariss Harun), pasukan terbaik, penyokong terbaik, media sosial terbaik dan laman web terbaik.
Juara Piala Malaysia, Perak pula memenangi dua anugerah melalui pemain pertahanan terbaik menerusi Shahrul Mohd Saad selain Mehmet Durakovic dari Australia yang dinobatkan selaku jurulatih terbaik.
Pemain muda Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid pula memenangi anugerah penyerang terbaik manakala penyerang import Selangor, Rufino Segovia del Burgo dari Sepanyol, menyapu dua anugerah - pemain import terbaik dan anugerah kasut emas (penjaring terbaik) Liga Super dengan 31 gol.
SENARAI PENUH PEMENANG ABK 2018:
Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)
Pertahanan Terbaik: Shahrul Mohd Saad (Perak)
Pemain Tengah Terbaik: Muhammad Safawi Rasid (JDT)
Penyerang Terbaik: Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Kedah)
Jurulatih Terbaik: Mehmet Durakovic (Perak)
Pemain Wanita Terbaik: Nurul Azurin Mazlan (Penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan)
Pemain Import Terbaik: Rufino Segovia del Burgo (Selangor)
Pemain ASEAN Terbaik: Hariss Harun (JDT)
Pemain Muda Harapan: Muhammad Safawi Rasid (JDT)
Pemain Paling Popular: Lee Andrew Tuck (Terengganu FC)
Anugerah Kasut Emas (Penjaring Gol Terbanyak): Rufino Segovia del Burgo (Selangor) - 31 gol
Penyokong Terbaik: JDT
Media Sosial Terbaik: JDT
Laman Web Terbaik: JDT
Anugerah Mesra Media: Yusri Che Lah (Ketua jurulatih Kelantan)
Anugerah Persahabatan: Hafizh Syahrin Abdullah (Pelumba MotoGP negara)
Anugerah Fair Play: Melaka
Anugerah Komuniti: Kedah Kenari Kid
Penjaring Terbanyak Liga Super: Rufino Segovia del Burgo (Selangor) - 31 gol
Penjaring Terbanyak Liga Super (Tempatan): Shafiq Shaharudin (Kelantan) - 6 gol
Penjaring Terbanyak Liga Premier: Anselmo Arruda Da Silva (Felcra FC) - 19 gol
Penjaring Terbanyak Liga Premier (Tempatan): Bobby Gonzales (Sarawak) - 13 gol
Best XI: Farizal Marlias, Marcos Antonio, Muhammad Safawi Rasid (JDT); Kamal Azizi Zabri, Lee Andrew Tuck, Thierry Chantha Bin, Mohd Faiz Mohd Nasir, Brice Hermann Tchetche Kipre (Terengganu FC); Shahrul Mohd Saad (Perak); Mohd Rizal Ghazali, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Kedah)
-BERNAMA
0 comments
Post a Comment