Pemilihan PKR bagi memilih kepemimpinan parti itu selepas PRU14, mencatat sejarah apabila kali pertama undi dilaksanakan secara di atas talian menggunakan sistem e-undi.
Undian secara digital itu menggunakan konsep ‘satu ahli satu undi’ dengan 80,000 anggotanya layak mengundi dan berlangsung empat tahun sekali.
Dalam pemilihan kali ini, 76 jawatan dipertandingkan di peringkat pusat dan 10,212 jawatan lagi membabitkan persaingan di peringkat cabang seluruh Malaysia, mencatatkan sejarah tersendiri kerana pemilihan kali ini adalah yang pertama diadakan selepas PKR membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).
Dijalankan secara berperingkat-peringkat, pemilihan 2018 menyaksikan Kedah dan Pulau Pinang sebagai pembuka gelanggang yang mengundi kepemimpinan masing-masing selain memilih Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dengan negeri terakhir adalah Sarawak dan Sabah.
Pada pemilihan itu anggota akan memilih jawatan MPP iaitu timbalan presiden, naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat, ketua Wanita pusat dan ahli majlis pimpinan pusat.
Bagi pemilihan peringkat cabang, anggota PKR akan memilih ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan 15 ahli jawatankuasa cabang, selain ketua AMK cabang, timbalan ketua AMK cabang, naib ketua AMK cabang dan 15 ahli jawatankuasa AMK cabang.
Selain itu turut dipilih ialah ketua Wanita cabang, timbalan ketua Wanita cabang, naib ketua Wanita cabang dan tujuh ahli jawatankuasa Wanita cabang.
Pada penamaan calon 5 Ogos 2018 lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding sebagai presiden apabila tiada calon lain tampil bagi merebut jawatan berkenaan.
Bagi jawatan timbalan presiden akan menyaksikan pertembungan antara Anggota Parlimen Gombak yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Kerusi naib presiden yang memperuntukkan empat kekosongan bakal direbut 12 calon, termasuk empat penyandang jawatan berkenaan dan tiga tempat bagi jawatan sama akan dibuat secara lantikan.
Penyandang jawatan itu ialah Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya, Samsul Iskandar Mohd Akin; Anggota Parlimen Kuala Langat, Dr A Xavier Jeyakumar dan bekas Anggota Parlimen Batu, Tian Chua.
Antara muka baharu bagi merebut jawatan berkenaan ialah Anggota Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Anggota PKR Cabang Puchong, Michael Tamil; Anggota Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Anggota Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Anggota PKR Cabang Padang Serai, Prof Datuk Dr G. Balasubramaniam dan Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.
0 comments
Post a Comment