Dec 12, 2018

Sabah Mahu Batalkan Had Dua Penggal Jawatan Yang di-Pertua Negeri

Sidang khas Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan esok adalah bertujuan untuk membatalkan had tempoh dua penggal terhadap jawatan Yang di-Pertua Negeri, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Stephen Wong.

"Ketika ini, Perlembagaan Sabah menetapkan bahawa gabenor hanya boleh berkhidmat selama dua penggal. Apa yang kita mohon adalah membatlkan tempoh jawatan selama 'dua penggal' itu," kata Wong.

"Perlembagaan negeri yang asal tidak menyebut tentang had tempoh bagi ketua negeri, tetapi ini kemudiannya dihadkan kepada dua penggal.

"Oleh kerana kita bercakap mengenai MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), maka kita ingin kembali kepada perlembagaan negeri yang asal," katanya.

"Ini adalah alasan utama di sebalik pembentangan usul berkenaan oleh kerajaan negeri yang diterajui oleh Warisan pada sidang DUN khas esok, menurut Wong.

Usul itu akan membolehkan Yang di-Pertua Negeri semasa, Juhar Mahiruddin, yang tempohnya berakhir pada 2 Januari, 2019, untuk kekal dan dilantik buat penggal ketiga.

Beliau pertama kali dilantik ke jawatan itu pada 2 Januari 2011, dan mengambil sumpah jawatan buat penggal kedua pada 1 Januari 2015.

Perlembagaan negeri menghadkan tempoh jawatan Yang di-Pertua kepada dua penggal, dengan setiap penggal selama empat tahun.

Warisan, bersama-sama dengan sekutunya PKR dan DAP, memenangi 29 daripada 60 kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-14. Mereka hanya kekurangan dua kerusi untuk mendapat majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan negeri.

BN Sabah juga memenangi 29 kerusi. Baki dua kerusi lagi dikauasai oleh Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Pada 10 Mei lalu, Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri negeri selepas mendapat sokongan daripada Star.

Bagaimanapun, BN Sabah kemudian tumbang apabila enam orang Adun membelot, dan ini menyaksikan menyebabkan Presiden Warisan Shafie Apdal diangkat menjadi ketua menteri pada 13 Mei.

Spekulasi bertiup kencang bahawa usul melanjutkan tempoh jawatan Yang di-Pertua Negeri adalah cara Shafie mengucapkan terima kasih kepada Juhar kerana membenarkannya mengambil sumpah jawatan.

Ketika ini, Warisan dan sekutunya menguasai 45 kerusi dalam DUN yang mempunyai 64 kerusi itu, dan mempunyai majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda perlembagaan.

Terdapat juga spekulasi bahawa beberapa wakil rakyat Umno mungkin meninggalkan parti mereka hari ini, dan menyokong rang undang-undang itu juga. -mkini

0 comments

Post a Comment